Razlan harap dua pelumba Petronas Yamaha SRT akan menyerlah di Sepang. FOTO NSTP/ MOHD FADLI HAMZAH
Razlan harap dua pelumba Petronas Yamaha SRT akan menyerlah di Sepang. FOTO NSTP/ MOHD FADLI HAMZAH
Saiful Affendy Sapran


GRAND Prix MotoGP Malaysia adalah momen paling terbaik untuk dua pelumba Petronas Yamaha SRT memenangi perlumbaan sekali gus memecahkan dominasi pelumba Repsol Honda yang juga juara dunia, Marc Marquez.

Demikian cabaran Prinsipal Petronas Yamaha SRT, Datuk Razlan Razali kepada kedua-dua pelumba MotoGP pasukan itu, Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli yang setakat ini masih belum dapat menewaskan Marquez sepanjang musim ini.

Jelas Razlan, itulah juga tarikan utama pada musim ini, iaitu melihat pelumba pasukan Malaysia mengatasi juara dunia lapan kali itu yang mendominasi saingan musim ini termasuk muncul juara berturut-turut dalam lima perlumbaan terakhir.

"Adakah kita akan meraih kemenangan pertama tahun ini di SIC, itu yang amat dinanti-nantikan.

"Siapakah yang boleh mengalahkan Marquez, itu juga sesuatu yang ingin disaksikan oleh semua pihak.

"Bagi saya pada tahun ini Suzuki dan Ducati saja boleh mengalahkan Marquez. Yamaha menerusi Quartararo dan Maverick Vinales (Yamaha MotoGP) masih gagal.

"Jadi untuk saingan di Sepang, saya amat berharap kami dapat meraih kemenangan pertama," katanya pada sidang media, hari ini.

Quartararo setakat ini paling cemerlang apabila menaiki podium sebanyak enam kali tetapi belum pernah memenangi perlumbaan.

Razlan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) berkata, dua pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah (Red Bull KTM Tech 3) dan Adam Norrodin (Petronas Sprinta Racing) juga akan menjadi tumpuan penonton pada hujung minggu ini.

"Walaupun Hafizh agak bergelut dengan jentera musim ini, saya yakin dia mampu melakukan sesuatu kerana suasana beraksi di halaman sendiri kebiasaannya agak berbeza.

Begitu juga harapan saya dengan Adam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Oktober 2019 @ 4:46 PM