Hamidin Mohd Amin. FOTO NSTP
Hamidin Mohd Amin. FOTO NSTP
Syazwan Msar


LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) menarik balik tuntutan saman terhadap Telekom Malaysia (TM) berhubung isu pembayaran hak penyiaran Liga Malaysia.

Keputusan menarik balik tuntutan saman melalui notis pemberhentian yang difailkan di Mahkamah Tinggi pada 21 Mac lalu itu dibuat menerusi persetujuan bersama Ahli Lembaga Pengarah MFL dalam satu mesyuarat baru-baru ini.

Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin yang mengesahkan perkara itu berkata tindakan berkenaan membuktikan semangat kesukanan tinggi yang terjalin di antara pengendali Liga Malaysia dengan syarikat gergasi telekomunikasi negara itu.

“MFL menarik balik tuntutan saman terhadap TM selepas mencapai persetujuan dengan kesemua barisan Ahli Lembaga Pengarah MFL.

“TM sudah bersama dengan MFL pada 2015 ketika itu dikenali sebagai Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) dan menjadi penaja Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sejak 2000.

“Bukan itu sahaja, kita juga mengakui sumbangan TM yang turut aktif dalam menggerakkan pelbagai program pembangunan bola sepak tanah air,” katanya, dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut Hamidin dia percaya keputusan yang dipersetujui semua pihak itu adalah demi kebaikan bersama dan melihat perkara itu menjadikan hubungan yang terjalin antara MFL dan TM lebih utuh.

“Saya percaya peminat bola sepak mahu melihat suasana kondusif dapat diwujudkan sekali gus memberikan mesej bahawa syarikat korporat perlu bergerak seiring dalam memajukan bola sepak negara,” katanya.

Sebelum itu, MFL mengambil tindakan undang-undang terhadap TM dengan memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur susulan pelanggaran kontrak penajaan oleh syarikat telekomunikasi itu berikutan kegagalan membuat pembayaran hak penajaan dan penyiaran untuk 2019.

Tindakan itu diambil berikutan penamatan kontrak penajaan bersama TM yang ditandatangani untuk perjanjian selama lapan tahun pada Januari tahun lalu dan ia dilakukan selepas mencapai kata sepakat dalam satu mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 2:47 PM