REAKSI King (kanan) selepas menjaringkan penalti di Stadium Ullevaal,  Oslo. - FOTO EPA
REAKSI King (kanan) selepas menjaringkan penalti di Stadium Ullevaal, Oslo. - FOTO EPA
Reuters

JARINGAN penalti minit akhir penyerang Norway, Joshua King membolehkan pasukannya seri 1-1 ketika menentang Sepanyol dalam aksi kelayakan Euro 2020 di tempat sendiri awal pagi tadi.

Keputusan seri itu menamatkan rekod kemenangan 100 peratus Sepanyol dalam Kumpulan F tetapi masih mendahului dengan 19 mata daripada tujuh perlawanan.

Sweden di tangga kedua dengan 14 mata selepas membelasah Malta 4-0 di tempat lawan dan Romania ketiga dengan 13 mata selepas menewaskan Faroe Islands 3-0 semalam. Norway keempat dengan 10 mata.

Saul Niguez meletakkan skuad Robert Moreno di hadapan menerusi rembatan di luar kotak penalti pada awal babak kedua tetapi penjaga gol, Kepa Arrizabalaga menghadiahkan penalti pada lewat permainan selepas mengasari kapten tuan rumah, Omar Elabdellaoui.

King yang terlepas peluang terbaik menyamakan kedudukan sebelum itu tenang menyempurnakan penalti sekali gus menghidupkan sisa peluang Norway ke Euro 2020.

Sergio Ramos mencipta sejarah apabila memintas Iker Casillas sebagai pemain Sepanyol terbanyak mewakili negaranya dengan 168 penampilan tetapi mendapat kad kuning dalam perlawanan itu yang bermakna dia terlepas aksi menentang Sweden pada Selasa ini.

"Agak memalukan gagal menang perlawanan ini tetapi sangat sukar menentang pasukan yang tahu mereka hampir tersingkir dari saingan jika kalah,” kata kapten Sepanyol, Ramos.

"Mereka bermain penuh komitmen sehingga ke saat akhir, meletakkan pemain mereka yang paling besar di kawasan itu.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Oktober 2019 @ 7:43 AM