Pemain pasukan Republik Czech meraikan kemenangan ke atas England. FOTO Reuters
Pemain pasukan Republik Czech meraikan kemenangan ke atas England. FOTO Reuters
Reuters

ENGLAND mencatat kekalahan pertama pada kejohanan kelayakan dalam tempoh 10 tahun apabila tewas 1-2 di gelanggang lawan ke atas Republik Czech pada pertembungan Kumpulan A saingan kelayakan Euro 2020, awal pagi ini.

Ia kemenangan yang cukup layak buat Czech apabila mempamerkan aksi dengan penuh kesungguhan dan berusaha mengatasi aksi serba tidak menjadi buat England yang mempamerkan persembahan paling buruk sejak Gareth Southgate mengambil alih sebagai pengurus.

Kekalahan itu menamatkan rekod tanpa kalah England dalam tempoh sedekad di kejohanan Eropah dan kelayakan Piala Dunia dengan kali terakhir tewas kepada Ukraine, 0-1 di Dnipropetrovsk, 10 tahun lalu.

Barisan kendalian Southgate kerap melakukan banyak kesilapan ketika menghantar bola, pergerakan yang mudah dibaca lawan dan pertahanan yang longgar menyebabkan jurulatih amat tidak berpuas hati dengan prestasi dipamerkan pemainnya.

“Saya fikir kami sudah banyak menerima pujian sejak beberapa tahun lalu dan malam ini kami tidak melakukan dengan cukup baik. Aksi kami tidak begitu baik, ia semudah itu. Gol yang kami lepaskan adalah seperti membenarkan pemain lawan melakukan jaringan.” katanya.

“Sebenarnya kami sendiri perlu menerima hakikat tidak banyak mempamerkan persembahan terbaik. Kami membenarkan banyak peluang mudah dan kami membenarkan lawan menguasai bola terlalu banyak,” tambah Southgate.

Zdenek Ondrasek menjaringkan gol buat Republik Czech pada aksi Prague, awal pagi ini. FOTO EPA
Zdenek Ondrasek menjaringkan gol buat Republik Czech pada aksi Prague, awal pagi ini. FOTO EPA

Pemain gantian Zdenek Ondrasek memastikan kemenangan lima minit sebelum tamat apabila dia merembat bola mengatasi penjaga gol Jordan Pickford selepas menerima hantaran Lukas Masopust.

Ia adalah memori istimewa buat Ondrasek yang mencipta rekod penampilan dalam skuad kebangsaan pada usia 30 tahun selepas beraksi cemerlang menjaringkan gol sejak kebelakangan ini mewakili kelabnya FC Dallas dalam Liga Amerika Major League Soccer.

Harry Kane meletakkan England menerusi penalti pada minit ke-5 selepas Raheem Sterling dijatuhkan oleh Masopust.

Namun Czech menyamakan kedudukan empat minit kemudian apabila Jakub Brabec memanfaatkan peluang menjaringkan gol buat tuan rumah.

Keputusan itu bermakna Czech menyamai England dengan 12 mata dan empat kemenangan namun mereka mempunyai kelebihan kurang satu aksi perlawanan. England akan berdepan Bulgaria di Sofia pada awal pagi Selasa ini.

Terdahulu dalam satu lagi saingan membabitkan kumpulan A antara Montenegro menentang Bulgaria berakhir seri tanpa jaringan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Oktober 2019 @ 8:13 AM