HENDERSON pernah beraksi dengan pasukan bawah umur England. — FOTO Reuters
HENDERSON pernah beraksi dengan pasukan bawah umur England. — FOTO Reuters
Reuters

ENGLAND memanggil penjaga gol Sheffield United, Dean Henderson buat kali pertama susulan penarikan diri Tom Heaton kerana cedera bagi aksi kelayakan Euro 2020 menentang Republik Czech dan Bulgaria, menurut Persatuan Bolasepak Inggeris, awal pagi tadi.

Henderson, 22, yang beraksi secara pinjaman di Sheffield United dari Manchester United, akan menyertai skuad 24 pemain Gareth Southgate hari ini selepas Heaton kembali ke Aston Villa berikutan cedera ketika menang di Norwich City hujung minggu lalu.

Henderson dikritik pengurus kelabnya Chris Wilder selepas ‘menghadiahkan’ pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool gol tunggal ketika kalah 0-1 di Bramall Lane pada 28 September lalu, disaksikan oleh Southgate, namun bertindak balas dengan tidak dibolosi ketika seri di Watford, Sabtu lalu.

Henderson, yang tampil bersama England bagi pasukan B-16 hingga B-21, akan berkunjung ke Republik Czech dan Bulgaria bersama penjaga gol Jordan Pickford dan Nick Pope bagi aksi kelayakan Kumpulan A pada pagi Sabtu dan Selasa depan.

England menghuni tangga teratas dengan 12 mata maksimum daripada empat perlawanan dan akan layak ke pusingan akhir tahun depan jika menang ke atas pasukan tangga kedua Czech, yang mengumpul sembilan mata daripada lima aksi.

Bulgaria di tangga tercorot dengan dua mata daripada lima perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 8:19 AM