MEDVEDEV pilihan ketiga Masters Shanghai. - FOTO Agensi
MEDVEDEV pilihan ketiga Masters Shanghai. - FOTO Agensi
AFP

PEMAIN nombor satu dunia, Novak Djokovic menganggap Daniil Medvedev sebagai pemain sangat lengkap selepas tewas dua kali kepada pemain muda Rusia itu dalam dua perlawanan terakhir mereka.

Medvedev yang berusia 23 tahun kini menduduki tangga keempat ranking dunia dan mara ke final Terbuka Ameriak Syarikat sebelum tewas dalam aksi sengit lima set kepada Rafael Nadal.

Medvedev menjulang tiga gelaran tahun ini termasuk menewaskan Djokovic untuk menjuarai Masters di Cincinnati pada Ogos lalu.

"Beberapa bulan terakhir ini dia bermain tenis dengan sangat baik,” kata Djokovic di Masters Shanghai hari ini.

"Dia beraksi di final sekurang-kurangnya dalam setiap kejohanan --- lima atau enam sebelum ini yang bagi saya amat mengagumkan.”

Juara bertahan kejohanan berusia 32 tahun dari Serbia itu mungkin berdepan sekali Medvedev pada separuh akhir Shanghai dan menurutnya sukar mencari kelemahan pemain Rusia itu.

"Kecergasan dan pergerakannya semakin baik. Servisnya bagus selain mempunyai ketinggian dan menggunakan variasi pukulan dengan bijak,” kata Djokovic.

"Pukulan kilasnya sukar dipatahkan selain kurang melakukan kesilapan. ‘Forehand’ mungkin ada kelemahan tetapi sekarang dia berjaya memperbaikinya, jadi sekarang dia pemain serba lengkap.”

Medvedev pilihan ketiga akan menentang pemain Britain, Cameron Norrie malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 7:48 PM