MAUPAY meraikan jaringan pertama Brighton. - FOTO  Reuters
MAUPAY meraikan jaringan pertama Brighton. - FOTO Reuters
Reuters

PENYERANG remaja, Aaron Connolly menjaringkan dua gol bagi membantu Brighton & Hove Albion mengejutkan Tottenham Hotspur 3-0 dalam aksi Liga Perdana sebentar tadi.

Kekalahan di Stadium Amex itu diburukkan dengan kecederaan serius dialami penjaga gol, Hugo Lloris yang terpaksa diusung keluar ketika ‘menghadiahkan’ jaringan pertama Brighton pada minit ketiga.

Penjaga gol Perancis itu yang melepaskan jaringan mudah ketika menentang Southampton minggu lalu dan dibolosi tujuh kali ketika dibelasah Bayern Munich gagal menangkap kemas hantaran jauh Pascal Gross dan bola muntah pantas ditanduk masuk Neal Maupay. Lloris pula mengalami kecederaan lengan dan terpaksa diberi bantuan oksigen ketika diusung keluar.

Penjaga gol gantian, Paulo Gazzaniga turut dibolosi pada minit ke-32 oleh Connolly berusia 19 tahun yang bertindak pantas menolak bola muntah tampanan penjaga gol Spurs itu sekali gus jaringan kelapan dilepaskan Spurs dalam tempoh 78 minit pada aksi kompetitif.

Mauricio Pochettino kemudiannya membawa masuk Harry Winks selepas rehat bagi menggantikan Tanguy Ndombele tetapi Connolly sekali lagi menjaringkan gol lebih menarik pada minit ke-65.

Kali ini pemain Ireland itu menerima hantaran jauh di sebelah kiri dan mengatasi kawalan Toby Alderweireld sebelum merembat kencang menggunakan kaki kanan melewati jangkauan Gazzaniga untuk kemenangan pertama Brighton ke atas Spurs sejak 1983.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Oktober 2019 @ 10:08 PM