Khairu Azrin mahu skuadnya bangkit di Johor Bahru. FOTO NSTP
Khairu Azrin mahu skuadnya bangkit di Johor Bahru. FOTO NSTP
Malik Muhamad


PEMAIN tengah Terengganu FC (TFC), Muhammad Khairu Azrin Khazali enggan memikirkan kekalahan kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi pertama suku akhir Piala Malaysia Sabtu lalu.

Sebaliknya pemain kelahiran Selangor yang lebih dikenali sebagai Acong itu tekad memperagakan aksi terbaik untuk melakar kejutan pada aksi kedua di Stadium Tan Sri Datuk Hassan Yunos, Larkin, Sabtu ini.

Selain itu, bekas pemain FELDA United musim lalu itu menggesa rakan sepasukannya bermain bermati-matian sehingga minit terakhir perlawanan demi peminat biarpun sedar bukan mudah bermain di Larkin.

"Kekalahan aksi pertama memeritkan kerana bermain di tempat sendiri.

Namun, saya tidak mahu memikirkan episod malang itu sebaliknya kami tekad untuk melakar kejutan.

"Kami berharap kemenangan diraih di Larkin kerana tiada yang mustahil dan mengulangi pencapaian mara ke final seperti tahun lalu selepas menumpaskan pasukan itu dengan agregat 3-2.

"Pemain perlu lebih fokus dan melakukan yang terbaik bagi mencapai matlamat itu seterusnya melayakkan kami ke separuh akhir bagi mengulangi pencapaian musim lalu.

"Kami harap strategi jurulatih menjadi biarpun beraksi di gelanggang mereka," ujar Azrin.

Pada suku akhir pertama minggu lalu, pemain berusia 28 tahun itu beraksi dengan baik namun skuadnya tumpas 0-1 hasil jaringan Diogo Santo.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 4:35 PM