JARINGAN lewat Rodri tidak mampu menyelamatkan City di Carrow Road. — FOTO Reuters
JARINGAN lewat Rodri tidak mampu menyelamatkan City di Carrow Road. — FOTO Reuters
AFP

PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola menegaskan beliau masih “sayang” pemainnya selepas kalah mengejut 2-3 di kelab pendatang baharu Norwich menyaksikan juara Liga Perdana Inggeris itu ketinggalan lima mata di belakang Liverpool.

City kalah buat kali pertama dalam liga sejak Januari lalu ketika Kenny McLean, Todd Cantwell dan Teemu Pukki meledak gol buat Norwich yang dibelenggu kecederaan di Carrow Road.

Bagaimanapun, Guardiola mendakwa kesilapan sebegitu adalah normal berbanding prestasi luar biasa City yang dipamerkan ketika memenangi kejuaraan Liga Perdana berturut-turut.

Anak buah Guardiola mencatat rekod 100 mata pada musim 2017-18 dan 98 mata musim lalu ketika mereka mengatasi Liverpool yang mencipta rekod kelab 97 mata.

GUARDIOLA tidak bimbang kekalahan City. — FOTO premierleague.com
GUARDIOLA tidak bimbang kekalahan City. — FOTO premierleague.com

“Saya tahu kami sebagai satu pasukan, apa yang sudah kami lakukan, apa yang akan kami lakukan lagi dan saya sayang semua pemain saya. Ia satu keseronokan dan penghormatan untuk berada bersama mereka,” kata jurulatih berbangsa Catalan itu.

“Itulah cabarannya di tahap tertinggi. Orang tidak boleh menjangkakan sepanjang masa untuk menang atau mengumpul 100 mata, 90 mata.

“Ia menunjukkan betapa sukarnya setiap perkara yang kami sudah lakukan. Kini kami perlu bangkit, pergi ke Eropah (Liga Juara-Juara) dan kembali.

“Kami sedar kualiti lawan kami, bukan hanya Liverpool, tapi terutamanya Liverpool dan saya tahu lima mata adalah lima mata, tapi kami masih berada di bulan September.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 9:38 AM