V Shem (kiri) dan Wee Kiong berdepan beregu Korea Selatan pada aksi final Terbuka Taiwan. FOTO EPA
V Shem (kiri) dan Wee Kiong berdepan beregu Korea Selatan pada aksi final Terbuka Taiwan. FOTO EPA
Ferzalfie Fauzi


BEREGU profesional lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong membuktikan mereka masih berbisa sekali gus muncul juara Terbuka Taiwan, Arena Taipei, hari ini.

V Shem-Tan Wee Kiong yang kali terakhir mengecapi kejuaraan Januari lalu di Masters Thailand, Januari lalu menewaskan wakil Korea Selatan, Choi Solgyu-Seo Seung Jae, 21-19, 15-21, 23-21.

V Shem berkata, kunci utama kejayaan mereka pada perlawanan itu adalah ketenangan walaupun pasangan lawan jauh meninggalkan mereka di set penentuan.

"Mereka mula hilang tumpuan walaupun sudah berada di kedudukan 20-16. Bermula dari situ kita mula untuk kembali mengejar," katanya.

V Shem Goh (kiri) dan Wee Kiong juara Terbuka Taiwan. FOTO EPA
V Shem Goh (kiri) dan Wee Kiong juara Terbuka Taiwan. FOTO EPA

Sementara itu, Wee Kiong mengakui kehadiran penyokong Malaysia banyak membantu mereka dalam perlawanan itu.

"Mereka (penyokong) adalah inspirasi kekuatan kami untuk terus berjuang," kata pemain berusia 30 tahun itu.

Bekas pasangan nombor satu dunia itu berdepan dengan aksi tidak konsisten sejak Masters Thailand dan pencapaian terbaik mereka adalah mara ke separuh akhir Masters Malaysia dan Terbuka New Zealand.

Selepas ini pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 Rio itu akan beraksi di Terbuka China minggu depan.

Kejayaan merangkul Terbuka Taiwan menghidupkan kembali peluang V Shem-Wee Kiong untuk cuba melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan membuktikan mereka masih lagi mempunyai kemampuan walaupun meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) awal tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 September 2019 @ 8:02 PM