KHABIB Nurmagomedov kembali merangkul gelaran lightweight Ultimate Fighting Championship. FOTO REUTERS
KHABIB Nurmagomedov kembali merangkul gelaran lightweight Ultimate Fighting Championship. FOTO REUTERS
Reuters

KHABIB Nurmagomedov kembali merangkul gelaran lightweight Ultimate Fighting Championship (UFC) menerusi kemenangan pusingan ketiga ke atas pemangku juara Dustin Poirier di Abu Dhabi awal pagi tadi.

Atlet kelahiran Dagestan itu berjaya melepasi apitan guillotine untuk menumbuk belakang Poirier sebelum mengubah posisi dan mengapit leher lawan dari belakang.

Poirier segera menyerah kalah, memberikan peninju kegemaran ramai itu rekod kemenangan 28-0 di UFC 242.

Khabib mendominasi pertarungang itu dan hanya sekali berdepan masalah ketika Poirier mengepitnya dengan tangan kanan pada pusingan kedua, membuatkannya menggelupur sebelum bangkit dan kembali menekan lawan dari Amerika Syarikat itu ke lantai.

Gelaran itu disatukan apabila UFC mempunyai dua juara kategori lightweight. Poirier menjadi pemangku juara pada April apabila penyandang gelaran Khabib digantung perlawanan.

Kemenangan itu menandakan kepulangan Khabib ke oktagon selepas menjalani penggantungan susulan pembabitannya sewaktu pergaduhan di arena Oktober lalu selepas bertarung dengan Conor McGregor.

Khabib merujuk permusuhannya dengan peninju Ireland itu yang menurutnya menghina keluarga dan agamanya.

“MMA bukannya mengenai bercakap perkara mengarut, itulah yang kami tunjukkan dengan Dustin Poirier dan pasukan hebatnya,” kata Khabib.

Khabib jelas sekali menjadi pilihan penyokong apabila mereka melaungkan namanya berkali-kali.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 September 2019 @ 11:41 AM