DANIIL MEDVEDEV
DANIIL MEDVEDEV
AFP

PILIHAN kelima dari Russia Daniil Medvedev mara ke final Grand Slam pertamanya awal pagi tadi dengan menewaskan pemain nombor 78 dunia dari Bulgaria Grigor Dimitrov 7-6 (7/5), 6-4, 6-3 di Terbuka Amerika Syarikat.

Medvedev akan beraksi dalam perlawanan akhir awal pagi lusa di Stadium Arthur Ashe menentang pemenang satu lagi perlawanan separuh akhir di antara pilihan ke-24 kejohanan Matteo Berrettini dan juara Grand Slam 18 kali Rafael Nadal.

“Akhirnya, saya di sini selepas tiga set,” kata Medvedev.

“Saya gembira dapat ke final.”

Sekiranya pilihan kedua, Nadal menjulang gelaran Terbuka AS buat kali keempat awal pagi lusa, dia hanya ketinggalan satu gelaran untuk menyamai pencapaian pemain lelaki terbaik Grand Slam sepanjang zaman yang ketika ini dirangkul Roger Federer.

Pemain Sepanyol berusia 33 tahun itu juga akan menghampiri rekod lima gelaran Terbuka AS pada era kejohanan terbuka yang kini dikongsi Roger Federer, Pete Sampras dan Jimmy Connors.

Nadal menewaskan Medvedev pada final kejohanan di Montreal bulan lalu dalam satu-satunya pertemuan mereka, kemudian tidak menyertai kejohanan Cincinnati yang dimenangi Medvedev.

Medvedev, yang kini memegang rekod kemenangan 20-2 dalam empat kejohanan di Amerika Utara menewaskan Berrettini di Indian Wells tahun lalu dalam satu-satunya pertemuan mereka.

“Apabila saya pergi ke AS, saya tidak tahu ia akan sebagus ini,” kata Medvedev.

“Jadi saya perlu katakan saya sukakan AS.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 September 2019 @ 10:53 AM