JURULATIH skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe bersalaman dengan pengendali Indonesia, Simon McMenemy sambil disaksikan Farizal (kanan) dan kapten skuad Garuda ketika sidang media hari ini.
JURULATIH skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe bersalaman dengan pengendali Indonesia, Simon McMenemy sambil disaksikan Farizal (kanan) dan kapten skuad Garuda ketika sidang media hari ini.
Daripada Firdaus Hashim di Jakarta


KETUA pasukan Harimau Malaya, Farizal Marlia mahu rakan sepasukan bijak menyerap tekanan Indonesia khususnya daripada ribuan penyokong tegar tuan rumah apabila turun pada aksi pertama Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 malam esok.

Sudah pasti, Stadium Gelora Bung Karno yang berkapasiti 80,000 penonton akan dibanjiri penyokong skuad Garuda.

Tatkala ia menguji kekuatan mental pemain dalam tempoh 90 minit yang dijangka genting, Farizal yang juga penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT) optimis terhadap kemampuan pasukan berdepan ranjau itu.

Katanya, keghairahan penyokong tuan rumah tidak jauh bezanya dengan penyokong di Malaysia yang sentiasa berada di belakang pasukan sebagai 'pemain ke-12'.

"Bagi saya pemain-pemain juga dah biasa dengan suasana di mana di Liga Malaysia juga mempunyai penyokong yang ramai setiap kelab dan saya rasa itu bukan isu besar.

"Saya harap pemain dapat bersedia daripada segi mental dan fizikal malam esok dan dapat menyerap tekanan yang akan dihadapi nanti," katanya pada sidang media di Stadium Gelora Bung Karno, di sini, hari ini.

Jelasnya lagi, dia juga mahu pemain negara mempunyai semangat bagaikan pahlawan sebagaimana ketika beraksi pada saingan Piala AFF penghujung tahun lalu yang menyaksikan Malaysia muncul naib juara selepas tewas 3-2 secara agregat kepada Vietnam.

"Saya yakin, jika kita beri fokus sepenuhnya dalam perlawanan esok, tiada apa yang mustahil untuk meraih keputusan positif dan sebagai permulaan baik untuk kempen ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 8:35 PM