ADAM  ketika beraksi di  Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2019 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada  Mac lalu.
ADAM ketika beraksi di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2019 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Mac lalu.
Saiful Affendy Sapran


PELUANG keemasan diperolehi Adam Norrodin apabila diberi kepercayaan menggantikan pelumba Moto2 negara, Khairul Idham Pawi pada Grand Prix (GP) San Marino 15 September ini.

Adam yang kini beraksi di Kejohanan Moto2 Eropah serta Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) bukan asing dalam pentas Kejohanan Motosikal Dunia apabila pernah beraksi pada saingan Moto3 selama tiga musim bermula 2016.

"Ia umpama mimpi jadi kenyataan. Banyak perkara baru saya perlu pelajari tetapi ia pasti sangat menarik. Sudah pasti saya gembira dapat kembali beraksi di Kejohanan Dunia kerana saya merindui situasi saingan di kejohanan itu," katanya.

Adam berkata, jentera PETRONAS Sprinta Racing yang akan dikendalikannya pasti sangat berbeza. "Fokus utama saya pada minggu perlumbaan itu nanti adalah memahami karakter jentera untuk bekalan pengalaman pada masa depan," katanya.

Arena Metro semalam melaporkan Khairul atau Super KIP terpaksa menangguhkan hasratnya untuk melakukan penampilan semula di San Marino kerana masih belum pulih sepenuhnya selepas menjalani pembedahan kali kedua di tangan kanannya pertengahan bulan lalu.

Ia susulan kecederaan dialaminya ketika GP Sepanyol, Mei lalu yang menyaksikannya setakat ini terlepas beraksi sebanyak sembilan pusingan perlumbaan. Khairul dijangka hanya akan beraksi semula pada GP Thailand 6 Oktober depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 6:59 PM