AFP

SESI latihan Grand Prix Belgium terpaksa dihentikan, hari ini selepas kereta Mercedes dipandu Lewis Hamilton merempuh tembok.

Pendahulu kejuaraan dan juara dunia lima kali itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan dan keluar dengan selamat dari keretanya.

Bendera merah dikibarkan menandakan sesi latihan bebas ketiga di litar Spa-Francorchamps dihentikan.

Hamilton hilang kawalan ketika memecut pada kelajuan tinggi di selekoh Les Fagnes dengan melanggar tembok penghadang tayar.

“Saya berada di tembok. Maaf,” kata Hamilton.

Keretanya kelihatan mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan serta tayar kiri yang perlu dibaik pulih atau memerlukan pertukaran casis.

Pemandu Britain itu kembali ke paddock ketika keretanya dibawa naik trak dengan kedua-dua tayar depan mengalami kerosakan teruk.

Sesi latihan itu menyaksikan pemandu Ferrari, Charles Leclerc mencatat masa terpantas di hadapan rakan sepasukan, Sebastian Vettel.

Pemandu Monaco itu merakam masa terpantas sepusingan pada sesi latihan Jumaat di litar sepanjang 7 kilometer dengan catatan satu minit 44.206 saat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Ogos 2019 @ 8:12 PM
Kereta Hamilton dibawa menaiki trak selepas terbabas. FOTO REUTERS
Kereta Hamilton dibawa menaiki trak selepas terbabas. FOTO REUTERS