DJOKOVIC buru trofi keempat Terbuka AS. - FOTO Agensi
DJOKOVIC buru trofi keempat Terbuka AS. - FOTO Agensi
Reuters

NOVAK Djokovic dijangka menjadi pemain pilihan mengungguli Terbuka Amerika Syarikat tetapi kekalahannya di Masters Cincinnati minggu lalu menyalakan harapan pencabarnya selepas pemain nombor satu dunia itu tidak kebal.

Djokovic tidak tewas sebelum Cincinnati apabila meraih tiga kejuaraan termasuk dua Grand Slam di atas tiga permukaan berbeza tahun ini.

Dia menjuarai Terbuka Australia pada Januari lalu, merangkul trofi Masters ATP di Madrid pada Mei sebelum menewaskan Roger Federer dalam aksi final epik Wimbledon, Julai lalu.

Tetapi kekalahannya kepada pemain Russia, Daniil Medvedev penghujung minggu lalu tidak menggoyahkan keyakinan Djokovic yang menduduki ranking teratas selama sembilan bulan.

"Saya nampak positif dalam permainan saya,” katanya merujuk kekalahan itu yang juga ketujuh daripada 45 perlawanan tahun ini. "Saya tewas kepada pemain yang bermain sangat bagus. Saya akur dan memandang ke New York selepas ini.

"Kemudian sudah pasti saya perlu bersiap sedia menghadapi Terbuka. Saya suka bermain dalam suasana di atas gelanggang dan akan berjuang menjulang trofi seperti pemain lain.”

Djokovic menang empat daripada lima Grand Slam terakhir dan hanya sekali kalah dalam tempoh 13 bulan lalu ketika di separuh akhir Terbuka Perancis tahun ini. Dia kekal salah satu calon pilihan untuk menjuarai Terbuka AS buat kali keempat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 11:31 AM