PERALATAN berteknologi tinggi yang digunakan bagi memastikan prestasi pemain mereka sentiasa berada di tahap terbaik. FOTO JOHOR Southern Tigers
PERALATAN berteknologi tinggi yang digunakan bagi memastikan prestasi pemain mereka sentiasa berada di tahap terbaik. FOTO JOHOR Southern Tigers
Meor Riduwan Meor Ahmad


PELABURAN besar dilaksanakan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam program sains sukan semakin jelas dengan pemasangan peralatan berteknologi tinggi di Pusat Latihan Padang Seri Gelam sejak minggu lalu.

Menerusi kenyataan di Twitter rasmi JOHOR Southern Tigers (JST), kelab itu mengumumkan pemasangan dua mesin, ‘Airpod Oxygen' dan 'Hydrogen Therapy’ di pusat berkenaan kelmarin bagi memastikan prestasi pemain mereka sentiasa berada di tahap terbaik.

"Ia (mesin) ini sebahagian daripada peralatan untuk membantu pemain pulih selepas sesi latihan, kecederaan dan menambahkan kekuatan pemain secara fizikal selain mesin ‘Infrared Sauna Therapy’ yang baharu dipasang pada minggu lalu.

"Usaha diambil JDT untuk terus memperbaiki infrastruktur kelab adalah sejajar aspirasi pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sentiasa menetapkan JDT selaku penanda aras bola sepak tanah air," katanya.

Pelbagai gambar mesin berkenaan yang dipasang di pusat itu turut dimuat naik di laman web dan Twitter JST. Menurut JST, kecederaan dan kelesuan adalah perkara biasa dalam bola sepak, namun jika tidak ditangani sebaiknya ia boleh merencatkan tempo pasukan terutama berkaitan tahap kecergasan pemain.

"Dengan adanya mesin ini tempoh pemulihan pemain yang biasanya mengambil masa panjang boleh dikurangkan.

"Menerusi kemajuan teknologi ini, semua pemain JDT mampu kekal cergas dan boleh digantikan kerana berada pada tahap kecergasan optimum serta bersedia untuk bermain pada bila-bila masa," katanya.

Untuk rekod JDT adalah pasukan pertama dalam Liga Malaysia mempraktikkan program sains sukan secara menyeluruh dengan peralatan teknologi milik mereka sendiri.

Difahamkan JDT sebelum ini membelanjakan RM1.4 juta untuk program sains sukan serta membeli beberapa peralatan terbaik dari Eropah dan juga Asia untuk membantu pemain mereka daripada pelbagai aspek.

Antara peralatan itu seperti 'Saliva Testing Kits', 'Super Inductive System', 'Hypervolt Vibration Massage Device', 'Hydrotheraphy Machine' dan 'Smartspeed System Gates' yang berfungsi untuk memantau kecergasan pemain, membina kekuatan pesakit selepas mengalami kecederaan serta memulihkan kecederaan otot dan tisu lembut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 1:19 PM