PENJAGA gol Cottbus,   Lennart Moser  menyelamatkan gawangnya daripada ditembusi penyerang  Bayern Munich, Thomas Mueller  di Stadium Freundschaft,   Cottbus. - FOTO AFP
PENJAGA gol Cottbus, Lennart Moser menyelamatkan gawangnya daripada ditembusi penyerang Bayern Munich, Thomas Mueller di Stadium Freundschaft, Cottbus. - FOTO AFP
AFP

ROBERT Lewandowski membolosi gawang lawan manakala Lucas Hernandez tampil kali pertama ketika Bayern Munich mara ke pusingan kedua Piala Jerman menewaskan kelab kerdil, Energie Cottbus 3-1, awal pagi tadi.

Walaupun ramai menjangkakan perlawanan bakal berat sebelah, Cottbus membuktikan sebaliknya apabila mereka bertahan sehingga setengah jam sebelum Lewandowski membuka tirai jaringan menerusi tolakan jarak dekat.

Percubaan Lewandowski dan Kingsley Coman terkena palang sebelum rehat dan Bayern terpaksa menunggu sehingga minit ke-65 untuk menggandakan jaringan hasil rembatan jarak jauh Coman.

Leon Goretzka melengkapkan kemenangan enam minit sebelum tamat perlawanan untuk Bayern yang tidak pernah tewas pusingan pertama kejohanan sejak 1994.

Berkan Taz menjaringkan gol tuan rumah menerusi sepakan penalti pada minit terakhir perlawanan.

"Pasukan saya beraksi dengan baik hari ini. Saya sebenarnya mahu memasukkan Hernandez lebih awal daripada minit 89 tetapi dia mengalami kecederaan panjang sebelum ini,” kata jurulatih, Niko Kovac kepada Sky.

Bayern memulakan kempen Bundesliga menentang Hertha Berlin di tempat sendiri pada awal pagi Sabtu ini.

Sementara itu, Wolfsburg memerlukan dua gol pada masa tambahan sebelum menewaskan pasukan divisyen tiga, Halle yang dua kali bangkit untuk mengikat kedudukan 3-3. Robin Knoche dan Josip Brekalo memastikan kemenangan 5-3 buat Wolfsburg.

Kelab divisyen dua, Karlsruhe dan Stuttgart turut mara pusingan kedua selepas menewaskan Hanover dan Hansa Rostock.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Ogos 2019 @ 7:11 AM