Thiago (kanan) cuba mengatasi pemain Rottach-Egern pada aksi persahabatan di Jerman semalam. FOTO Agensi
Thiago (kanan) cuba mengatasi pemain Rottach-Egern pada aksi persahabatan di Jerman semalam. FOTO Agensi
AFP

JUARA Jerman, Bayern Munich tanpa belas kasihan membelasah pasukan bola sepak amatur Rottach-Egern FC, 23-0 dalam aksi persahabatan di Jerman, semalam, 12 bulan selepas mengalahkan pasukan sama 20-2.

Antara penjaring gol berkenaan adalah Corentin Tolisso yang menghasilkan empat gol, sementara Robert Lewandowski dan Otschi Wriedt masing-masing menyumbat hatrik dengan Thomas Mueller turut menemui jaringan.

Jurulatih Bayern, Niko Kovac membuat 10 pertukaran pada separuh masa kedua, dengan pemain kebangsaan New Zealand, Sarpreet Singh antara pemain baru menyertai pasukan itu.

Pemain berbakat berusia 20 tahun itu, yang tiba dari Wellington Phoenix awal tahun ini, menjaringkan dua gol selepas 30 minit perlawanan berlangsung untuk mencatat gol pertama bersama pasukan Bayern.

Pemain yang mencatat rekod selepas ditandatangani Bayern, Lucas Hernandez turut beraksi di separuh masa kedua untuk membuat penampilan pertama di kelab itu.

Pemain yang memenangi Piala Dunia bersama Perancis menyertai Bayern dengan yuran sekitar 80 juta Euro (RM374.98 juta) awal tahun ini, terpaksa disisihkan daripada beraksi sejak Februari kerana mengalami kecederaan lutut.

“Saya rasa amat bagus. Saya kembali pulih berperingkat-peringkat. Saya berasa semakin hampir pada 100 peratus.” kata Hernandez.

“Saya perlu berusaha selebihnya dengan beraksi lebih banyak perlawanan. Saya harap akan cergas sepenuhnya untuk beraksi pada Isnin ini.”

Bayern akan memulakan kempen mempertahankan kejuaraan Piala Jerman berdepan Energie Cottbus, Isnin ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Ogos 2019 @ 12:56 PM