Mora mahu kekal momentum kemenangan. FOTO NSTP
Mora mahu kekal momentum kemenangan. FOTO NSTP
Rizar Mohd Noor


TIADA dalam kamus Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk membalas dendam apabila melayani kunjungan Petaling Jaya City FC (PJ City FC) pada aksi Kumpulan B dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Tan Seri Hassan Yunos, Larkin, malam esok.

Sebaliknya juara Liga Super enam musim berturut-turut mahu memberi sepenuh tumpuan memburu kemenangan dan langsung tidak memikirkan untuk menebus kekalahan 0-1 kepada skuad kendalian K Devan pada aksi liga di gelanggang sendiri pada 16 Julai lalu yang mencalar rekod tanpa kalah skuad Harimau Selatan.

Ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora menegaskan dalam bola sepak tiada istilah membalas dendam sebaliknya lebih mempercayai dengan penampilan berbeza dan corak permainan taktikal yang baharu bagi meneruskan momentum kemenangan.

"Saya tidak percaya dalam permainan bola sepak ada istilah membalas dendam kerana apa kami mahukan adalah mengekalkan momentum kemenangan.

Walaupun kami tewas dalam perlawanan liga tapi ia sudah dilupakan dan hanya mahu beri persembahan terbaik.

"Jika kita memikirkan untuk membalas dendam, ianya pasti menjejaskan rentak permainan kerana pemain akan terlalu fokus untuk menebus kekalahan lalu. Sebaliknya mereka harus beraksi mengikut perancangan taktikal dan tidak bermain secara emosi.

"Yang penting, kami perlu berada di tahap terbaik dari aspek kecergasan dan kekuatan mental kerana tanpa dua elemen itu agar sukar untuk turun beraksi dengan konsisten dan boleh menjejaskan rentak permainan," katanya.

Selain menewaskan JDT pada aksi liga baru-baru ini, pada musim lalu ketika dikenali sebagai Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA), sebelum dijenamakan sebagai PJ City FC, pasukan itu menewaskan JDT 1-2 juga di Larkin dalam saingan kumpulan.

Mora juga tidak menafikan PJ City FC memiliki kekuatan tersendiri dan pemain JDT harus berwaspada dengan corak serangan balas pasukan itu yang mampu memerangkap barisan pertahanan skuad Harimau Selatan.

Apapun beliau mahu barisan pemain JDT mengawal permainan sekurang-kurangnya 60 peratus permainan dan lebih kerap mencetus peluang mencipta jaringan selain mengurangkan kesilapan mudah yang menyebabkan pasukan lawan mengambil kesempatan.

Tambahnya, jadual yang begitu rapat menjejaskan perancangan skuad itu tatkala beberapa pemain seperti Gonzalo Cabrera dan Mauricio Santos mengalami kecederaan kecil tapi tidak serius dan berharap dapat pulih sepenuhnya.

"Walaupun ia tidak membantu pemain yang cedera untuk berada di tahap kecergasan 100 peratus dan kami akan terus membuat persiapan rapi untuk beraksi dengan lebih baik dan ingin meneruskan kemenangan kedua di Larkin," kata Mora.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 2:27 PM