SHafizal tak mahu fikir status Kedah selaku juara Piala FA. FOTO NSTP
SHafizal tak mahu fikir status Kedah selaku juara Piala FA. FOTO NSTP
Malik Muhamad


PEMAIN Terengganu FC (TFC), Muhammad Hafizal Mohamad tidak mahu memikirkan status dan reputasi juara Piala FA musim ini, Kedah apabila kedua-dua pasukan bertembung pada aksi kedua Kumpulan A saingan Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Khamis ini.

Bekas pemain Harimau Muda berusia 26 tahun itu juga menyatakan pemain TFC sudah bersedia mencalar ego skuad Helang Merah itu di laman mereka biarpun atas kertas pasukan itu ternyata liat untuk ditumpaskan.

“Benar rekod musim ini lebih berpihak kepada Kedah selepas menumpaskan TFC 3-0 pada aksi Liga Super musim April lalu selain mengikat kami 2-2 pada perlawanan pusingan kedua di Kuala Terengganu, bulan lalu.

“Namun, untuk pertemuan Khamis ini, kami tidak mahu memikirkan mengenai rekod itu biarpun beraksi di tempat mereka kerana perlawanan Piala Malaysia auranya ternyata berbeza berbanding Liga Super.

“Kami datang dan sudah bersedia untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata ke Terengganu, jika mendapat tiga mata ia dianggap bonus buat kami sebagai bekalan untuk layak ke suku akhir piala berprestij itu,” kata Hafizal.

Ketika menumpaskan PKNS FC 3-1 Jumaat lalu, bekas pertahanan kanan Terengganu FC II (TFC II) itu beraksi cemerlang bersama Serhi Andrieiev, Nasrullah Haniff Johan dan Adib Aizuddin Ab Latif menyekat rangkaian penyerang lawan daripada bergerak bebas.

“Bagaimanapun, saya mengingatkan diri dan rakan sepasukan agar tidak terlalu yakin selain tidak melakukan kesilapan mudah yang pasti akan mengundang padah buat pasukan selepas beraksi baik ketika menentang PKNS pada perlawanan pertama.

“Pada saya, pemain barisan depan Kedah berupaya meledak gol, ini terbukti ketika aksi Liga Super pasti akan ada jaringan yang dihasilkan.

Ini bermakna jentera serangan Kedah bagus dan tajam, jadi kami harus waspada dengan setiap gerakan mereka lebih-lebih lagi selepas mereka baharu menjulang Piala FA musim ini,” kata Hafizal, anak kelahiran Kampung Ladang, Kuala Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 1:36 PM