MAUPAY menandatangani kontrak empat tahun di Brighton. — FOTO brightonandhovealbion.com
MAUPAY menandatangani kontrak empat tahun di Brighton. — FOTO brightonandhovealbion.com
Reuters

BRIGHTON & Hove Albion akhirnya berjaya mengikat penyerang Perancis, Neal Maupay dari kelab Liga Kejuaraan, Brentford dengan kontrak empat tahun, umum kelab Liga Perdana Inggeris itu awal pagi tadi.

Tiada butiran kewangan mengenai perjanjian itu didedahkan namun media Britain melaporkan pemain berusia 22 tahun itu menyertai kelab pantai selatan England itu dengan harga £20 juta (RM101 juta).

Brighton mahu mengikat Maupay dua tahun lalu namun dia memilih untuk menyertai Brentford dari St Etienne, sesudah memulakan kariernya di Nice yang mana dia melakukan penampilan sulung pada usia 16 tahun.

Bekas pemain B-21 Perancis itu muncul penjaring gol kedua terbanyak bersama dalam Liga Kejuaraan musim lalu dengan 25 gol.

BRIGHTON mengintai peluang mengikat Maupay dua tahun lalu. — FOTO brightonandhovealbion.com
BRIGHTON mengintai peluang mengikat Maupay dua tahun lalu. — FOTO brightonandhovealbion.com

“Neal seorang penyerang berbakat, dengan kekuatan serta kepantasan dan dia seorang peledak gol terbilang,” kata pengurus Brighton, Graham Potter dalam laman web kelab itu.

“Dia akan menambah dimensi tambahan bagi pilihan semasa penyerang kami dan kami gembira melengkapkan perpindahan ini.

“Rekodnya dalam Liga Kejuaraan luar biasa, dengan 41 gol dalam dua musim terakhir dan kini cabarannya adalah untuk bertindak sedemikian rupa dalam Liga Perdana.”

Brighton terselamat daripada penyingkiran musim lalu apabila mereka berakhir hanya dua mata di atas zon penyingkiran di tangga ke-17. Mereka memulakan kempen di Watford, Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 8:25 AM