SMITH berjaya bawa Aston Villa ke saingan Liga Perdana Inggeris. FOTO/AGENSI
SMITH berjaya bawa Aston Villa ke saingan Liga Perdana Inggeris. FOTO/AGENSI
AFP

SELEPAS tiga tahun bergelumang di Liga Kejuaraan, Aston Villa kembali ke Liga Perdana Inggeris, dipimpin pengendali Dean Smith dan mendapat inspirasi pemain muda, Jack Grealish sekali gus membina asas yang kukuh untuk menambat hati liga elit bola sepak Inggeris itu.

Villa bukan saja sebuah kelab biasa buat Smith dan Grealish, di mana pengendali yang juga anak tempatan pernah menyapu tempat duduk di Holte End ketika bapanya Ron bekerja sebagai penjaga di Trinity Road Stand.

Smith, 48, yang mempunyai karakter merendah diri pernah bertugas sebagai pembantu jurulatih di Walsall dan Brentford sebelum mengambil alih pasukan Villa susulan pemecatan Steve Bruce pada Oktober.

Membawa pasukan pujaannya mara ke liga utama dengan kemenangan 2-1 pada playoff terakhir Liga Kejuaraan ke atas Derby adalah detik paling manis buat Smith di depan keluarga dan rakan-rakan.

Namun pesta di Wembley terpalit kesedihan kerana ketiadaan bapanya yang mengalami demensia.

“Saya fikir pasukan ini berjaya menambat hati penyokong. Ada ikatan yang kuat di antara kedua-duanya,” kata Smith menjelang aksi pembuka pertama Villa di Liga Perdana, menentang Tottenham 10 Ogos ini.

Grealish yang lahir tidak jauh dari Villa Park tentu sekali sudah meresapi semangat kelab yang disokongnya sejak kecil.

Pemain berusia 23 tahun itu berada di Villa sejak berusia enam tahun, ketika dia sering melompat ke kawasan semak di taman rumahnya untuk meniru gaya pemain yang sering melompat ke bangku penonton.

Grealish yang kini kapten Villa kini berjaya mengikis imej budak nakal dan mempamerkan kematangan dengan membalas tumbukan penyokong Birmingham ketika aksi di St Andrew dengan menjaringkan gol kemenangan.

“Hari di mana kami tersingkir, adalah hari di mana saya mahu membantu Villa kembali,” kata Grealish.

“Apabila saya berusia 19, 20 tahun, saya mungkin tidak menghargainya. Saya tidak sedar betapa beruntungnya saya bermain dengan Villa di Liga Perdana.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Ogos 2019 @ 11:34 AM