VERSTAPPEN  meraikan kejayaan muncul juara GP Jerman. - FOTO Reuters
VERSTAPPEN meraikan kejayaan muncul juara GP Jerman. - FOTO Reuters
AFP

SELEPAS dua kemenangan sensasi, Max Verstappen berpeluang meraih satu lagi kejayaan di Grand Prix Hungary, Ahad ini.

Pelumba Red Bull berusia 21 tahun itu yang bapanya, Jos menaiki podium di Hungary pada 1994 berharap dapat mencipta satu lagi kemenangan sebelum rehat pertengahan musim.

Kemenangan Verstappen di GP Jerman Ahad lalu mebolehkan dia mengurangkan jarak mata kepada 63 ke atas juara lima kali, Lewis Hamilton dengan baki 10 daripada 21 perlumbaan.

Pelumba Belanda itu kini berada di kedudukan ketiga di belakang dua pelumba Mercedes, Hamilton dan Valtteri Bottas.

Bagaimanapun, dia enggan terlalu yakin menghadapi perlumbaan pada malam Ahad ini tetapi pengarah sukan Red Bull, Helmut Marko yakin Verstappen akan merampas gelaran daripada Hamilton.

"Saya tidak tolak kemungkinan ia berlaku,” katanya.

Mercedes tidak tewas dalam lapan perlumbaan awal dan tekanan makin memuncak jika mereka sekali lagi berdepan minggu mengecewakan susulan kebangkitan semula Verstappen di Jerman.

Hamilton menang perlumbaan tahun lalu di Hungary dan sudah pasti dia pelumba pilihan jika pulih daripada masalah kesihatan. Tetapi sama ada dia atau Mercedes tidak boleh ambil mudah terutamanya jika Verstappen mempamerkan teknik pemanduan agresif.

"Saya sukakan Hungaroring," kata pelumba Belanda itu. “Ia salah satu litar kegemaran saya dan teruja berlumba di sana. Ia sangat teknik dan perlu bijak mengambil selekoh.

“Ia seperti anda memandu jentera besar di atas litar kecil, jadi ia sangat sempit tapi saya akan memberikan segalanya sebelum rehat musim panas.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 11:07 AM