Bale kekal bersama Real Madrid. FOTO REUTERS
Bale kekal bersama Real Madrid. FOTO REUTERS
Agensi

PERPINDAHAN Gareth Bale ke China ‘terpadam’ selepas Real Madrid membatalkan rundingan dan pemain sayap Wales itu akan terus kekal bersama kelab gergasi Sepanyol itu.

Bale, 30, dijangka menyertai kelab Liga Super China, Jiangsu Suning dengan kontrak selama tiga tahun dan dilaporkan akan memperolehi pendapatan sebanyak £1 juta (RM5j) seminggu.

Minggu lalu, bos Real Zinedine Zidane berkata Bale ‘hampir untuk meninggalkan kelab itu’ kerana tidak mendapat tempat.

Zidane berkata pemergiannya ke kelab lain adalah demi kebaikan semua orang.

Bale menyertai kelab Sepanyol itu pada nilai £85 juta (RM433j) daripada Tottenham Hotspur pada 2013 yang menjadi rekod perpindahan dunia ketika itu.

Dia masih berbaki kontrak selama tiga tahun bersama kelab Bernabeu dengan menjulang empat gelaran Liga Juara-Juara (UCL), satu La Liga, Piala Raja Sepanyol, tiga gelaran piala Super UEFA dan tiga Piala Dunia Kelab.

Bale menjaringkan tiga gol termasuk satu menerusi sepakan penalti penentuan dalam empat final UCL untuk Real ketika mereka meraih gelaran pada 2014, 2016, 2017 dan 2018.

Kecederaan mengakibatkannya hanya dapat beraksi dalam 79 penampilan La Liga sejak empat musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 9:13 PM