Lee Tuck yakin Terengganu melangkah ke suku akhir Piala Malaysia. FOTO NSTP/GHAZALI KORI
Lee Tuck yakin Terengganu melangkah ke suku akhir Piala Malaysia. FOTO NSTP/GHAZALI KORI
Malik Muhamad


ARKITEK Terengganu FC (TFC), Lee Tuck yakin pasukannya mampu melepasi pusingan awal untuk mara ke suku akhir saingan Piala Malaysia biarpun berada dalam kumpulan 'maut’.

Malah kapten TFC itu yakin kebangkitan dipamer rakan sepasukannya pada lima aksi terakhir Liga Super menjadi 'aset’ berharga buat skuadnya sepertimana melangkah sehingga ke final musim lalu.

Pemain kacukan England-Malaysia itu menuntut rakan sepasukannya tidak 'berpeluk tubuh’ dan memandang mudah keupayaan semua pasukan.

Ini kerana pertembungan setiap pasukan pada pentas piala berprestij Malaysia itu berbeza dengan saingan iga.

“Bukan mahu bercakap besar tetapi bagi saya pasukan Terengganu antara pencabar utama.

“Saya yakin kami mampu ke suku akhir dan memenangi piala selepas muncul naib juara musim lalu tewas kepada Perak.

”Namun begitu, ia pasti sukar berdasarkan pengalaman ke final tahun selepas kami bertemu banyak pasukan yang kuat.

“Hakikatnya bukan senang memenangi Piala Malaysia dan bukan senang mara ke final tetapi dengan prestasi terkini, saya percaya kami cukup kuat untuk melepasi peringkat kumpulan.

Apa-apa pun, kita tunggu aksi peringkat kumpulan pada awal Ogos nanti,” ujar Tuck yang juga bekas pemain Negeri Sembilan pada 2017.

Skuad TFC, juara Kumpulan A musim lalu mengenepikan Perak, Kuala Lumpur dan FELCRA FC sekali lagi diundi dalam Kumpulan A bersama Kedah, PKNS FC dan pasukan Liga Perdana, Negeri Sembilan musim ini.

“Saya tidak berani nak sebut pasukan mana paling kuat dalam kumpulan kerana Kedah juga kuat dan berada di final Piala FA minggu ini.

PKNS juga kuat walaupun kadangkala prestasi turun naik tetapi mereka juga antara pasukan yang hebat dalam Liga Malaysia (Liga M)“.

Bekas pasukan saya, Negeri Sembilan pula, kami belum pernah berjumpa skuad itu musim ini namun kami perlu berhati-hati dan membuat persediaan rapi untuk menghadapinya kerana ketiga-tiga pasukan mempunyai kekuatan masing-masing.

“Jadi, saya tak boleh ramal dan tidak tahu pasukan mana yang paling kuat dalam kumpulan ini.

“Saya tidak sabar berjumpa mereka, gembira dan positif dengan prestasi pasukan berdasarkan corak permainan kami sekarang yang memandang ke depan dan mahu beraksi lebih cemerlang dalam saingan piala itu,” ujar pemain paling popular Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2018 itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 12:32 PM