AZMAN (kiri), Hafizh Syahrin (kanan) dan Pengerusi Shell Malaysia, Datuk Lain Lo pada majlis pelancaran GP Motosikal Malaysia di Publika, malam ini. — FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
AZMAN (kiri), Hafizh Syahrin (kanan) dan Pengerusi Shell Malaysia, Datuk Lain Lo pada majlis pelancaran GP Motosikal Malaysia di Publika, malam ini. — FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Saiful Affendy Sapran


PERLUMBAAN Grand Prix Motosikal Malaysia dari 1 hingga 3 November depan dilihat cukup istimewa kerana ia meraikan penganjuran kali ke-20.

Pengerusi Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Tan Sri Azman Yahya berkata, penganjuran edisi ke-20 ini lebih menarik selain pada masa sama turut meraikan penganjuran perlumbaan berprestij itu untuk kali ke-70 sejak kali pertama pada 1949.

“Sudah pasti satu pengiktirafan dapat menyaksikan ulang tahun penganjuran ke-20 tahun ini serta ulang tahun ke-70 penganjuran MotoGP.

“Selama 20 tahun kami sudah bekerja keras untuk memastikan kualiti GP Malaysia berada di tahap tertinggi dan kami sudah membuktikannya dengan memenangi anugerah penganjuran GP terbaik pada 2012 dan 2017 oleh Suruhanjaya Grand Prix,” katanya pada majlis pelancaran GP Malaysia di Kuala Lumpur, malam ini.

AZMAN meminta peminat membeli tiket lebih awal. — FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
AZMAN meminta peminat membeli tiket lebih awal. — FOTO Nur Adibah Ahmad Izam

Azman berkata, GP Malaysia kali ini juga menyaksikan buat kali pertama penampilan pasukan negara, PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (SRT) di halaman sendiri membabitkan tiga kategori MotoGP, Moto2 dan Moto3.

“PETRONAS SRT baru saja meraih kejayaan menerusi Fabio Quartararo yang meraih tempat kedua di GP Catalunya.

“Dengan Hafizh Syahrin Abdullah (Red Bull KTM Tech 3) dan Khairul Idham Pawi (PETRONAS Sprinta Racing) berada di petak permulaan, ia pasti akan menambahkan kemeriahan penganjuran kali ini,” katanya.

Untuk itu Azman menggesa peminat sukan dua roda itu mendapatkan tiket perlumbaan secepat mungkin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 9:38 PM