DE Gea melayan kerenah peminat di Perth, kelmarin. - FOTO Agensi
DE Gea melayan kerenah peminat di Perth, kelmarin. - FOTO Agensi

MANCHESTER United semakin yakin David De Gea akan memperbaharui kontrak jangka panjang sekembalinya mereka daripada jelajah musim panas, menurut sumber kepada ESPN FC.

United menawarkan terma lebih baik kepada De Gea pada Jun lalu. Peluang mereka mengikat penjaga gol itu tampak cerah selepas menawarkan kontrak lima tahun dengan tawaran gaji £350,000 (RM1.8 juta) seminggu sekali gus mengakhiri kebuntuan rundingan selama 18 bulan dan tidak perlu risau akan kehilangan salah seorang penjaga gol terbaik dunia pada penghujung musim depan.

Skuad Ole Gunnar Solskjaer kini berada di Australia sebelum menuju Singapura, China, Norway , Cardiff dan mereka menjangkakan De Gea akan menurunkan tandatangan sebaik sahaja menamatkan jelajah musim panas.

Sumber memberitahu ESPN FC, pemain berusia 28 tahun itu yang menarik minat Paris Saint-Germain meminta jaminan daripada pengurusan United mengenai masa depan kelab itu selepas mereka gagal layak ke Liga Juara-Juara.

De Gea menegaskan dia mahu menjadi sebahagian daripada anggota pasukan yang mampu mencabar kempen Liga Juara-Juara selepas hanya mampu mengecapi aksi suku akhir sepanjang lapan tahun dia bersama Red Devils.

Sementara itu, kawalan keselamatan dipertingkatkan menjelang aksi persahabatan menentang Leeds United di Stadium Optus esok. Keganasan meletus pada pertembungan terakhir mereka dalam aksi Piala Liga 2011 di Elland Road.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 10:31 AM