Wan Roslan (kiri) ketika bercakap mengenai perlantikan Wan Abdul Rahim sebagai presiden baharu KAFA. FOTO Syamsi Suhaimi
Wan Roslan (kiri) ketika bercakap mengenai perlantikan Wan Abdul Rahim sebagai presiden baharu KAFA. FOTO Syamsi Suhaimi
Hazira Ahmad Zaidi


KERAJAAN negeri sedia bekerjasama menyumbang idea bagi memperkasakan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) di bawah kepemimpinan baharu yang dilantik.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan badan bukan kerajaan (NGO) negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, pihaknya mengucapkan tahniah di atas lantikan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah  sebagai presiden baharu KAFA bagi penggal 2019-2023.

Katanya, dalam persatuan, soal politik harus ditolak ke tepi walaupun berlainan ideologi dan ia tidak menjadi masalah kerana masing-masing perlu bersikap profesional.

"Pihak kami bersedia memberi idea bagi membantu memajukan KAFA.

"Seperti sebelum ini, jika diminta memberi pandangan atau idea, kita bersedia menyuarakan pandangan bagi meletakkan sukan bola sepak negeri ke peringkat yang lebih baik," katanya.

Beliau diminta mengulas mengenai kepemimpinan baharu KAFA yang dilantik dalam Kongres Luar Biasa (EGM) ketika sidang media Sempena Karnival Sukan Kelantan 2019 di Majlis Sukan Negeri (MSN), Jalan Telipot, di Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama, Pengarah MSN Kelantan, Muhammad Imran Mansoor.

Dalam pertandingan berkenaan, Wan Abdul Rahim berjaya mengalahkan Datuk Seri Amril Aiman Ab Aziz sekali gus diangkat sebagai pengganti kepada Bibi Ramjani Illias Khan.

Bibi Ramjani melepaskan jawatan presiden 18 Jun lalu selepas berdepan pelbagai cabaran dalam mengemudi TRW sejak dilantik pada September 2017.

Wan Roslan berkata, pihaknya juga mengharapkan presiden baharu yang dilantik dapat menjalankan amanah yang diberikan oleh ahli gabungan dengan baik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 1:17 PM