ALVES menjulang trofi Pemain Terbaik Copa America 2019 di Rio de Janeiro, awal pagi tadi. — FOTO AFP
ALVES menjulang trofi Pemain Terbaik Copa America 2019 di Rio de Janeiro, awal pagi tadi. — FOTO AFP
Reuters

KAPTEN Brazil, Dani Alves menambah koleksi trofi awal pagi tadi selepas mengemudi pasukannya menang 3-1 ke atas Peru pada final Copa America dan dinamakan sebagai pemain terbaik kejohanan, mengatasi pemain muda sekalipun berusia 36 tahun.

Pertahanan kanan itu mengutip trofi ke-40 sebagai pemain profesional ketika dia menjulang trofi Copa America di Rio de Janeiro, dikelilingi rakan sepasukannya yang penuh girang.

Alves sebahagian daripada benteng pertahanan yang hanya dibolosi sekali dalam enam perlawanan – Paolo Guerrero menyempurnakan penalti pada final – dan menambah tenaga tambahan di bahagian tengah dengan permainan menyerang sepanjang kejohanan.

Golnya ketika membenam Peru 5-0 pada peringkat kumpulan menjadi bukti kepada tahap kecergasan dan staminanya yang tinggi ketika dia meluru dari garisan tengah dan melakukan dua hantaran satu-dua dengan rakan sepasukan sebelum merembat masuk.

Dia turut menghasilkan permainan menarik pada separuh akhir menentang Argentina, menyelinap melepasi kawalan Leandro Paredes sebelum mengumpan tanpa melihat kepada Roberto Firmino sekali gus mengelirukan Nicolas Tagliafico dan menjurus kepada jaringan Gabriel Jesus.

Alves, dengan karier dipenuhi trofi membawanya dari pasukan kampung halaman Bahia ke Sevilla, Barcelona, Juventus dan Paris St Germain, kini tanpa sebarang kelab selepas kontraknya bersama PSG berakhir.

Di sebalik pada usia yang mana kebanyakan pemain menimbang untuk bersara, dia mungkin tidak berdepan masalah untuk mendapatkan kelab baharu.

Persembahannya mencuri tumpuan di Brazil namun bercakap menjelang final, Alves berkata, alasan di sebalik persembahan konsistennya adalah mudah.

“Jika anda hormat dengan kerjaya anda dan menjaga diri anda dengan baik ia mudah untuk mengekalkan tahap anda,” katanya.

“Sesetengah orang terkejut dengan persembahan saya di sini, tapi saya tidak.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 1:22 PM