Faiz Helmi Jali (tengah) ketika perlawanan menentang pasukan India pada aksi Sukan Asia tahun lalu. FOTO Agensi
Faiz Helmi Jali (tengah) ketika perlawanan menentang pasukan India pada aksi Sukan Asia tahun lalu. FOTO Agensi
Saiful Affendy Sapran


PERTAHANAN skuad hoki negara, Faiz Helmi Jali mengakui perlu menggalas tanggungjawab lebih besar selepas sekian lama dilihat sebagai pemain kurang matang berikutan susuk tubuhnya yang kecil.

Faiz yang lebih dikenali sebagai Botak di dalam pasukan berkata, dia kini menjadi antara 'orang kepercayaan' ketua jurulatih, Roelant Oltmans yang perlu memberi input di dalam pasukan kepada pengendali dari Belanda itu.

Oltmans menerapkan budaya itu bagi membentuk lebih kematangan kepada pemain senior sekali gus tidak terarah hanya kepada ketua pasukan sahaja.

"Ada beberapa pemain yang Oltmans beri tanggungjawab untuk memimpin pasukan.

"Mereka adalah Tengku Ahmad Tajuddin (Abdul Jalil), Razie (Rahim), Sukri Mutalib serta saya sendiri.

"Saya akui tanggungjawab ini agak berat sebab selama ini saya hanya dilihat sebagai pemain muda," katanya.

Faiz yang sudah melakukan 173 penampilan bersama skuad negara sejak 2012 bagaimanapun mengakui semakin selesa dengan tugas yang diberikan oleh Oltmans.

"Antara tugas saya adalah menyampaikan apa saja perkara yang dimaklumkan oleh pemain muda kepada jurulatih.

"Saya juga bertanggungjawab untuk membimbing barisan pemain muda ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 9:34 PM