PUKKI bersama trofi kejuaraan  Championship. - FOTO Agensi
PUKKI bersama trofi kejuaraan Championship. - FOTO Agensi
Reuters

PENYERANG prolifik Norwich City dari Finland, Teemu Pukki menandatangani kontrak baharu tiga tahun dengan pilihan lanjutan setahun, menurut jurucakap kelab yang bakal berentap dalam Liga Perdana musim ini.

Pukki, 29, menyertai Norwich pada Jun 2018 dari kelab Denmark, Brondby dan menjaringkan 30 gol dalam semua kejohanan membolehkan Canaries menjuarai Championship dan kembali ke saingan liga elit selepas tiga tahun tersisih.

"Tahun pertama saya sangat mengagumkan di sini, semua orang memudahkan saya dan keluarga sehinggakan seperti berada di negara sendiri. Saya sangat gembira untuk tinggal lebih lama di sini,” katanya dalam lawan web kelab.

"Prestasi musim lalu akan membantu kami mengharungi musim baharu. Saya yakin persefahaman mantap menjadi tunjang kekuatan kami dan membantu pemain baharu menyesuaikan diri.”

Norwich memulakan cabaran dengan berdepan naib juara Liga Perdana, Liverpool pada 9 Ogos.

"Ramai keluarga saya peminat Liverpool dan sangat menarik memulakan aksi di sana. Kami akan berusaha melakukan yang terbaik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 8:07 AM