PEMAIN Norway meraikan penalti penentuan dijaringkan Ingrid (kiri) di Allianz Riviera, Nice, awal pagi tadi. — FOTO Reuters
PEMAIN Norway meraikan penalti penentuan dijaringkan Ingrid (kiri) di Allianz Riviera, Nice, awal pagi tadi. — FOTO Reuters
AFP

JERMAN layak ke suku akhir Piala Dunia Wanita awal pagi tadi ketika Sam Kerr muncul seorang daripada dua pemain Australia gagal menyempurnakan penalti ketika Norway menyingkirkan Matildas pada pusingan 16 terakhir.

Norway menang 4-1 menerusi penentuan penalti selepas seri 1-1 di Nice dan juara 1995 itu mara ke suku akhir menentang sama ada England atau Cameroon.

Norway mendahului menerusi Isabell Herlovsen pada babak pertama namun pasukan kendalian Ante Milicic memaksa masa tambahan apabila Elise Kellond-Knight meledak gol terus daripada sepakan sudut tujuh minit sebelum tamat.

Mereka terselamat apabila kedua-dua percubaan Caroline Graham Hansen dan Vilde Boe Risa terkena palang buat Norway dan pertahanan Matildas, Alanna Kennedy dibuang padang pada masa tambahan.

SAM (kanan) gagal menyempurnakan sepakan penalti pertama Australia. — FOTO Reuters
SAM (kanan) gagal menyempurnakan sepakan penalti pertama Australia. — FOTO Reuters

Bagaimanapun, Sam merembat liar sepakan penalti pertama Australia sebelum percubaan Emily Gielnik diselamatkan manakala Norway menyudahkan semua percubaan dari jarak 12 ela, dengan Ingrid Engen menjaringkan gol kemenangan.

“Saya tidak tahu jika ada sebarang ayat untuk menggambarkan apa yang saya rasai ketika ini tapi lebih penting apa yang dirasai pemain,” kata Milicic dengan nada kecewa.

Terdahulu, kapten Jerman, Alexandra Popp menganggap “hari sempurna” buatnya dan pasukan selepas juara Piala Dunia 2003 dan 2007 itu menang mudah 3-0 ke atas Nigeria di Grenoble.

Alexandra, 28, meraikan penampilan ke-100 dengan menanduk masuk gol pembukaan pada minit ke-20 buat pasukan kendalian Martina Voss-Tecklenburg.

ALEXANDRA (kanan) menanduk masuk gol pertama Jerman di Grenoble. — FOTO Reuters
ALEXANDRA (kanan) menanduk masuk gol pertama Jerman di Grenoble. — FOTO Reuters

Tidak lama kemudian, Lina Magull dibentes dalam kotak penalti oleh pertahanan kiri Nigeria, Evelyn Nwabuoku dan sepakan penalti diberikan selepas reviu VAR.

Sara Daebritz tidak melakukan kesilapan dari jarak 12 ela sebelum Lea Schueller memastikan kemenangan dengan gol lewat aksi.

“Ia hari yang sempurna hari ini. Kami menekan Nigeria sepanjang masa dan gol awal menstabilkan persembahan kami,” kata Alexandra kepada badan penyiar ZDF.

Jerman akan berdepan sama ada Sweden atau Kanada, yang bertembung awal pagi Selasa ini, pada suku akhir hujung minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 10:49 AM