Ronaldo (kiri) berdepan cabaran de Ligt pada final Liga Negara-negara. FOTO REUTERS
Ronaldo (kiri) berdepan cabaran de Ligt pada final Liga Negara-negara. FOTO REUTERS
Agensi

CRISTIANO Ronaldo menggesa pemain sensasi Ajax, Matthijs de Ligt menolak tawaran berhijrah ke Manchester United sebaliknya menyertainya di Juventus.

Superstar Portugal itu memberitahu pemain pertahanan tengah Belanda itu selepas membantu negaranya menjulang gelaran Liga Negara-negara di Porto, awal pagi tadi.

Ronaldo yang juga kapten Portugal dilihat berbual dengan pemain muda bernilai £60j (RM317 juta) itu sejurus wisel penamat Portugal mengatasi Belanda 1-0.

Dengan wajah ceria, Ronaldo, 34, menyentuh rambut de Ligt sebelum meninggalkannya untuk meraikan kejayaan bersama rakan sepasukannya.

De Ligt, 19, masih belum membuat keputusan untuk menyertai kelab mana pada musim depan.

United, Liverpool, Barcelona dan Paris Saint-Germain berminat mendapatkan tandatangan pemain terbabit.

Malah, kini Juventus juga turut menyertai saingan dengan Ronaldo cuba menyakinkan pemain muda terbabit untuk beraksi bersamanya di Turin.

Ditanya sama ada ditanya adakah dia akan menjadi rakan sepasukannya di Juve, De Ligt memberitahu: "Ia mungkin benar, ya.

"Saya pada mulanya tidak memahaminya. Saya sedikit terkejut, jadi saya ketawa tetapi saya tidak berkata apa-apa mengenainya.

"Sudah tentu kecewa tewas selepas perlawanan berakhir dan hanya itu saja yang difikirkan ketika itu."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 5:01 PM