Tiga kelab gergasi mahukan Salah. FOTO REUTERS
Tiga kelab gergasi mahukan Salah. FOTO REUTERS
Agensi

LIVERPOOL berdepan cabaran sengit mempertahankan wira Liga Juara-Juara (UCL), Mohamed Salah pada musim panas ini.

Dua kelab besar iaitu Manchester United dan Real Madrid sedang berunding untuk mendapatkan khidmat pemain ajaib Mesir itu.

Akhbar Sepanyol, AS mendakwa dua kelab gergasi itu mahu memikat pemain berambut afro itu agar meninggalkan Anfield malah Bayern Munich juga berminat membawanya ke Bundesliga.

Salah menjaringkan gol menerusi sepakan penalti ketika skuad Jurgen Klopp menewaskan Tottenham 2-0, Sabtu lalu untuk meraih gelaran keenam juara Piala Eropah.

Ditanya mengenai masa depan selepas menjulang trofi itu, Salah enggan bercakap mengenai komitmen terhadap Liverpool.

Dia berkata: “Sekarang saya tidak boleh bercakap mengenai masa depan saya.”

AS turut melaporkan Real gagal untuk mendapatkan tandatangan bekas bintang Roma itu pada musim panas lalu selepas Liverpool meminta lebih £180j (RM952j) jika mahu mendapatkan khidmatnya.

Zinedine Zidane yang merombak skuad baru di Bernabeu kini begitu bersemangat untuk membawa pemain memiliki kualiti seperti Salah ke Madrid.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 6:03 PM