KEUPAYAAN Faizal (dua dari kanan) berjaya mencuri tumpuan  Melaka United. - FOTO Nazri Abu Bakar
KEUPAYAAN Faizal (dua dari kanan) berjaya mencuri tumpuan Melaka United. - FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar

BEKAS pemain Kedah dan Negeri Sembilan, Faizal Abu Bakar sah menyertai Melaka United (MU) sempena jendela perpindahan kedua Liga Super musim ini.

Malah pemain yang pernah menyertai skuad negara dan pasukan bawah 23 tahun kebangsaan, selain PDRM dan Kelantan menjadi pilihan skuad Hang Tuah selepas melepaskan R Gopinathan dan Nushamil Abd Ghani menyertai The Cops dan Selangor United.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Farhan Ibrahim berkata, pemain berusia 28 tahun itu menjadi pilihan barisan kejurulatihan dan pengurusan pasukan selepas melihat kebolehannya sebagai pemain tengah berwibawa.

"Keupayaan yang boleh beraksi di pelbagai posisi termasuk sayap dan serangan juga menjadi antara kriteria penyenaraiannya bersama pasukan.

"Ini juga peluang buat pemain terbabit membuktikan prestasinya kembali melonjak seperti pernah dinikmatinya. Malah kami juga mengharapkan sinarnya kembali terang sepanjang menyertai MU," katanya.

Pemain kelahiran Kuala Nerang, Kedah itu sudah lebih seminggu menjalani latihan bersama MU dan kini menunggu ruang untuk turun beraksi.

Malah, dia dijangka diturunkan pada aksi berdepan Terengganu pada 16 Jun depan, sekali gus memberi pilihan buat pengendali pasukan, Zainal Abidin Hassan dalam menentukan barisan pemainnya.

Sebelum ini, pasukan terbabit turut menyenaraikan dua import baharu menerusi kehadiran Davy Claude Angan dari Ivory Coast dan Dominik Balic (Croatia).

Dua pemain berkenaan turut menyumbang kemenangan ke atas Perak 3-2 di Ipoh selepas menggantikan Anselmo Casagrande yang dipinjamkan ke Pulau Pinang dan Darko Markovic yang menyertai Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 2:19 PM