Novak Djokovic. FOTO REUTERS
Novak Djokovic. FOTO REUTERS
AFP

NOVAK Djokovic mampu menjadi pemain lelaki kedua dalam sejarah dua kali menjulang empat kejuaraan Grand Slam berturut-turut pada masa yang sama menerusi kemenangan di Terbuka Perancis.

Bagaimanapun Roger Federer dan Rafael Nadal akan sekali lagi menjadi penghalangnya.

Djokovic, pemain nombor satu dunia melengkapkan keempat-empat kejuaraan Grand Slam menerusi kemenangan di Roland Garros pada 2016.

Selepas menjulang Wimbledon dan Terbuka AS pada 2018 dan kemudiannya meraih kejuaraan ketujuh Terbuka Australia Januari tahun ini, pemain Serbia itu semakin hampir dengan ‘Djoko Slam’ keduanya.

Federer dan Nadal, masing-masing dengan 20 dan 17 gelaran Grand Slam mungkin berada di depan Djokovic yang menjulang 15 kejuaraan.

Bagaimanapun mereka gagal merangkul keempat-empat gelaran terhebat sukan itu pada masa sama.

Ia satu pencapaian luar biasa yang hanya berjaya dicapai Don Budge (1938) dan Rod Laver (1962 dan 1969) sepanjang kalendar Grand Slam.

Djokovic yang berusia 32 tahun Rabu lalu, menolak kemungkinan tuah bakal menyebelahinya.

Selepas tewas kepada Nadal pada final Terbuka Itali hujung minggu lalu, pemain Serbia itu mengakui pemain Sepanyol itu akan menjulang gelaran Roland Garros ke-12 dalam tempoh dua minggu lagi.

“Nadal, pilihan utama, tidak syak lagi, berbanding yang lain,”

Namun dia mengakui kejayaan di Paris pada 2016 yang membolehkannya menyapu bersih semua Grand Slam memberikan semangat untuk mencatat lebih banyak sejarah.

“Ada motivasi tambahan untuk menang Roland Garros kerana peluang menjulang keempat-empat Grand Slam seperti yang pernah dilakukan tiga lalu, dan ia memberikan saya keyakinan untuk melakukannya sekali lagi.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 10:28 AM