Azeem atlet pecut masa depan negara. FOTO NSTP/EFFENDY RASHID
Azeem atlet pecut masa depan negara. FOTO NSTP/EFFENDY RASHID
Shaarani Ismail


MUHAMMAD Azeem Mohd Fahmi menganggap pemilihan ke dalam skuad pelapis kebangsaan sebagai rezeki dan bonus bagi dirinya yang masih remaja.

"Pertamanya, saya sangat bersyukur dan tidak menyangka saya boleh sampai ke tahap ini.

Pada usia saya sekarang dapat menyertai skuad pelapis itu adalah satu pencapaian sangat membanggakan bagi saya dan saya sangat gembira," kata atlet pecut itu ditemui di Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Gunung Rapat, Ipoh, hari ini.

Ditanya sama ada pencapaian yang menjadi tumpuan negara selain liputan berterusan berhubung kejayaan dikecapinya memberi tekanan, Azeem berkata, setakat ini semua perkara itu tidak memberi tekanan dan masih boleh diuruskan dengan baik.

"Bagi diri saya sendiri tidak ada tekanan.

Saya masih boleh menguruskan apa perlu saya uruskan dan apa perlu dilakukan dan fikirkan buat masa sekarang.

"Meskipun (dipilih) di bawah skuad pelapis kebangsaan, tiada apa perlu ditekankan setakat ini kerana apa yang penting sekarang adalah fokus pada latihan dan pertandingan yang akan ditempuhi dalam jangka masa terdekat.

"Insya-Allah selepas Hari Raya Aidilfitri nanti saya akan menyertai Kejohanan Balapan Sekolah ASEAN di Indonesia bagi kategori bawah 18 tahun," katanya.

Mengenai tawaran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sama ada memilih untuk mengikuti latihan di luar negara, Bukit Jalil atau terus kekal di Perak, Azeem berkata, dia masih belum memikirkan berkenaan tawaran berkenaan.

Katanya, keutamaan adalah kekal di Perak bagi menghadapi peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan berharap akan mendapat keputusan yang cemerlang pada peperiksaan itu nanti.

Jurulatih Azeem, Mohd Amir Izwan, berkata dia gembira dan berpuas hati dengan keputusan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mengekalkan Azeem di SMK Gunung Rapat sehingga akhir tahun ini bagi membolehkan anak didiknya itu memberikan fokus terhadap peperiksaan PT3 yang bakal dihadapi.

Katanya, Azeem masih menjalani latihan seperti biasa membabitkan tujuh sesi seminggu dengan setiap sesi latihan selama dua jam.

Dia menjalani dua sesi latihan sebelah pagi manakala lima sesi sebelah petang dan pada Ramadan latihan hanya membabitkan sesi petang.

"Fokus latihan ketika ini sehingga hujung tahun dan untuk tahun yang berikutnya bergantung kepada Azeem, tetapi dia disarankan untuk mengikuti latihan di Bukit Jalil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 4:49 PM