PEMAIN Ajax meraikan kejayaan memenangi Piala Belanda di Rotterdam, malam tadi. — FOTO EPA
PEMAIN Ajax meraikan kejayaan memenangi Piala Belanda di Rotterdam, malam tadi. — FOTO EPA
AFP

AJAX Amsterdam bersiap sedia bagi separuh akhir kedua Liga Juara-Juara menentang Tottenham Hotspur pertengahan minggu ini dengan membenam Willem II 4-0 untuk merangkul Piala Belanda, semalam.

Pasukan kendalian Erik ten Hag menerima kunjungan Spurs awal pagi Khamis ini dengan kelebihan 1-0 dan dua gol penyerang veteran Klaas-Jan Huntelaar membantu mengekalkan momentum yang menyaksikan mereka layak ke separuh akhir pertandingan utama Eropah buat kali pertama sejak 1997 selain mengungguli liga Belanda musim ini.

Ten Hag melakukan tiga pertukaran daripada skuad yang menang di utara London dengan pemain sayap David Neres, pemain tengah Lasse Schoene dan pertahanan kanan Joel Veltman memulakan aksi final di Rotterdam di bangku simpanan.

Schoene beraksi 10 minit terakhir menggantikan Frenkie de Jong yang sudah bersetuju menyertai kelab gergasi La Liga, Barcelona musim depan.

Pertahanan tengah Daley Blind meledak gol pembukaan sebelum Rasmus Kristensen meraih gol keempat selepas dua jaringan Huntelaar bagi merangkul kejuaraan domestik pertama sejak memenangi Eredivisie pada 2014.

Kelab Belanda itu, yang menang kejuaraan Eropah empat kali, memburu final Liga Juara-Juara pertama sejak kalah kepada Juventus pada 1996.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 10:27 AM