TEN Hag (kanan) memberikan arahan kepada pemainnya. — FOTO EPA
TEN Hag (kanan) memberikan arahan kepada pemainnya. — FOTO EPA
Reuters

JURULATIH Ajax Amsterdam, Erik ten Hag memuji ‘singa’ mudanya selepas kelab Belanda itu mengorak langkah untuk layak ke final Liga Juara-Juara dengan kemenangan 1-0 di Tottenham Hotspur, awal pagi tadi.

Gol rembatan Donny van de Beek pada minit ke-15 meletakkan Ajax di landasan tepat menentang Spurs yang berdepan tugas getir mengubah keadaan pada separuh akhir kedua di Amsterdam minggu depan.

“Satu pencapaian fantastik. Kami berjuang bagaikan singa,” kata Ten Hag. “Kami sudah separuh jalan ke sana dan dalam keadaan bagus. Keinginan kuat untuk menang itu amat menarik untuk dilihat.”

Selepas menundukkan juara bertahan Real Madrid dan kelab gergasi Eropah, Juventus dalam laluan ke separuh akhir pertama Liga Juara-Juara sejak 1997, Ajax sekali lagi membuktikan kenapa terlalu ramai pemain dalam skuadnya mencuri tumpuan beberapa kelab besar benua itu.

REMBATAN Neres (kiri) terkena tiang gol pada lewat aksi. — FOTO Reuters
REMBATAN Neres (kiri) terkena tiang gol pada lewat aksi. — FOTO Reuters

Van de Beek menakjubkan malah membayangi pemain yang akan berpindah ke Barcelona, Frenkie de Jong, manakala kapten berusia 19 tahun, Matthijs de Ligt mempamerkan kematangan untuk mengemudi benteng ketika Tottenham mula mengasak selepas rehat.

Jika David Neres tidak dinafikan oleh tiang gol pada lewat aksi, kelebihan Ajax mungkin sukar dibendung namun Ten Hag menyedari tugasnya belum lengkap.

“Saya fikir ia keputusan yang bagus buat kami. Kami menang perlawanan ini. Kami berpuas hati. Kami mempunyai modal tapi kami baru separuh jalan,” katanya kepada wartawan.

“Kami boleh bermain bola sepak dengan gaya berbeza. Kami boleh bertahan dengan amat bagus. Kami mempunyai pasukan yang bekerjasama dengan baik, mereka boleh berjuang bersama dengan baik sekali.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 8:08 AM