WEE  Wern akan menyertai Kejohanan Antarabangsa El Gouna di Mesir bermula Rabu ini.
WEE Wern akan menyertai Kejohanan Antarabangsa El Gouna di Mesir bermula Rabu ini.
Ferzalfie Fauzi

MENYINGKIRKAN tiga pemain pilihan di pusingan kedua, suku akhir dan separuh akhir bukan satu tugas mudah namun pemain skuasy wanita negara Low Wee Wern mampu mengharungi cabaran berkenaan walaupun tumpas di final Terbuka Macau semalam.

Menurut Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Nik Razeen Adam Daud, secara keseluruhan Wee Wern berjaya menunjukkan prestasi membanggakan sepanjang kejohanan berlangsung.

“Ini keputusan bagus buatnya dan saya gembira dia menunjukkan peningkatan. Sekarang dia berada di landasan terbaik dan mengikut segala yang dirancang,” katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini. Selepas mengalahkan tiga pemain Mesir secara berturut-turut, Wee Wern akhirnya terpaksa akur dengan persembahan meyakinkan pilihan utama, Annie Au dari Hong Kong apabila kalah 5-11, 11-13, 8-11 dalam perlawanan akhir semalam.

“Setakat ini kita berpuas hati dengan perkembangannya yang pulih dari kecederaan dan tidak beraksi selama 20 bulan sebelum ini.

“Bagi saya Wee Wern seorang pemain penuh berdedikasi dan wajar dijadikan contoh kepada pelapis muda. Jadi saya harap dia mampu meneruskan kecemerlangan ini untuk kejohanan akan datang di Mesir,” kata Nik Razeen.

Selepas ini pemain kelahiran Pulau Pinang itu akan beraksi di Kejohanan Antarabangsa El Gouna di Mesir yang berlangsung dari 17 hingga 27 April. Dia akan menentang wakil tuan rumah, Jana Shiha di pusingan pertama dan jila berjaya mencatat kemenangan menantinya di pusingan kedua ialah pemain nombor satu dunia, Raneem El Welily juga dari Mesir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 6:12 PM