Menu rendang dan kari ayam Malaysia ditawarkan di Stadium Tottenham. FOTO EPA/ Twitter Spurs
Menu rendang dan kari ayam Malaysia ditawarkan di Stadium Tottenham. FOTO EPA/ Twitter Spurs
Twitter/Esme Jo/SCM

MASAKAN rendang dan kari ayam Malaysia kini boleh dinikmati di Stadium baru Tottenham Hotspur di High Road, Tottenham, London.

Kompleks stadium baru yang menggantikan White Hart Lane itu dilengkapi 60 gerai yang menyajikan pelbagai jenis makanan dan minuman termasuk burger dan sandwich.

Makanan Malaysia adalah antara tarikan terbaru buat peminat bolasepak kerana sebelum ini sudah sate dan nasi lemak di England.

Tottenham dibarisi beberapa pemain bintang bintang seperti Harry Kane, Dele Ali dan import dari Korea Selatan, Son Heung Min yang mencetus impak dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Kompleks stadium bernilai £1 billion (RM5.3 bilion) itu berkapasiti 62,062 penonton pada satu-satu masa.

Ia adalah stadium pertama seumpama itu di dunia dengan peminat Malaysia juga boleh merasai sendiri keunikan makanan berkenaan jika berpeluang ke sana.

Menerusi Twitter @Spurs_MAS, peminat kelab itu berkongsi pengalaman mereka dengan menulis: ”Terdapat menu baru di stadium baru kita, kita mempunyai rendang Malaysia dan kari ayam Malaysia.”

“Bagaimanapun, kami masih belum dapat mengesahkan sama ada rendang itu jenis ‘rangup’ atau sebaliknya tetapi kami akan terus memberi perkembangan terbaru dari semasa ke semasa,” menurut tulisan peminat terbabit.

Makanan tradisional dan popular itu diboleh didapati di salah satu kompleks menempatkan gerai diberi nama Naan dan Noodle.

Jika anda memang penyokong Spurs, masih ada memori Osvaldo Ardiles, Steve Archibald, Ray Clemence mahupun Paul Gascoigne atau David Ginola sehinggalah terkini, menu boleh dinikmati pada harga £8.95 (RM47.73).

Boleh mencubanya, jika ada peluang dan berkesempatan ke sana. Santai!

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 9:09 PM