Lin Dan beraksi di Kejohanan Terbuka Malaysia. FOTO Syarafiq Abd Samad.
Lin Dan beraksi di Kejohanan Terbuka Malaysia. FOTO Syarafiq Abd Samad.
Ferzalfie Fauzi


LEGENDA perseorangan lelaki China, Lin Dan memberi bayangan bahawa dia menunggu Datuk Lee Chong Wei bersara barulah dia turut mengambil langkah berkenaan dan mempunyai misi sama iaitu melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Menurut pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2008 (Beijing) dan 2012 (London) itu, dia sekarang ini cuba untuk mencabar dirinya sendiri dan cuba untuk beraksi dalam tempoh beberapa tahun lagi.

"Sekarang saya tidak ada kecederaan dan tidak sakit, tapi jika mempunyai masalah berkenaan mungkin saya bersara," katanya selepas menumpaskan pilihan ketiga dari Taiwan, Chou Tien Chen 13-21, 21-19, 21-19 di pusingan pertama Terbuka Malaysia hari ini.

Ujar bekas pemain nombor satu dunia itu, sekarang apa yang boleh dilakukannya adalah mencabar diri sendiri dan berharap dapat melayakkan diri ke Sukan Olimpik.

"Lagi pun, Chong Wei pun masih belum bersara. Kami akan sama-sama berentap untuk melayakkan diri ke Olimpik.

Dalam masa sama saya ingin mengukur sejauh mana kemampuan saya untuk dijadikan contoh kepada pemain muda," katanya.

Sementara itu, Lin Dan mengakui sendiri bahawa dia tidak merasakan wujudnya kuasa besar empat pemain perseorangan lelaki, seperti dia dan Chong Wei bersama dua lagi bekas pemain, Taufik Hidayat dan Peter Gade.

"Sekarang tahap pemain perseorangan lelaki adalah setara, saya tidak rasa adanya empat kuasa besar dan paling terbaik ialah Kento Momota serta Viktor Axelsen," katanya yang mengakui masih belum berjumpa Chong Wei sebaik tiba di sini.

Chong Wei ketika ini masih dalam proses pemulihan selepas bebas daripada kanser hidung yang dihidapinya, Julai tahun lalu. Dia juga sebelum ini menegaskan yang dia masih akan terus beraksi dengan fokus utama untuk layak ke Olimpik Tokyo 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 9:47 PM