LIONEL Messi (kanan) melakukan sepakan percuma yang menjurus kepada gol pertama di Nou Camp, Sabtu lalu. — FOTO Reuters
LIONEL Messi (kanan) melakukan sepakan percuma yang menjurus kepada gol pertama di Nou Camp, Sabtu lalu. — FOTO Reuters
Reuters

JURULATIH Barcelona, Ernesto Valverde menyasarkan untuk memenangi enam daripada sembilan aksi terakhir La Liga Sepanyol musim ini untuk membantu pasukannya mengekalkan kejuaraan.

Kelab Catalan itu unggul 10 mata di depan pasukan tangga kedua Atletico Madrid, yang berkunjung ke Nou Camp Sabtu ini, selepas mereka bertandang ke kelab bermasalah Villarreal, awal pagi esok.

“Ada sembilan perlawanan lagi dan jika kami menang enam daripadanya, kami juara,” kata Valverde kepada wartawan semalam.

“Pada perlawanan hujung musim pasukan di tangga bawah sering kali merampas banyak mata.

VALVERDE ketika sesi latihan Barca di pusat latihan Joan Gamper, semalam. — FOTO EPA
VALVERDE ketika sesi latihan Barca di pusat latihan Joan Gamper, semalam. — FOTO EPA

“Anda hanya perlu melihat perlawanan minggu ini, Celta, Huesca, Rayo, mereka akan melakukan sedaya mungkin dan kami mesti bersedia dengan perlawanan sebegini.”

Pasukan tangga ke-17 Villarreal, hanya satu mata di atas zon penyingkiran selepas mensia-siakan pendahuluan dua gol sebelum tewas 2-3 di Celta Vigo, Sabtu lalu.

Valverde berkata, keutamaan pasukannya adalah menjuarai La Liga, berbanding Liga Juara-Juara yang mana mereka berdepan Manchester United pada suku akhir pertama 10 April ini.

“Mengikut sejarah, apabila Barca menang Liga Juara-Juara, mereka menang La Liga juga,” jelas jurulatih berbangsa Sepanyol itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2019 @ 10:19 AM