DM/EJ

BOS Manchester City Pep Guardiola dilaporkan bersetuju menggantikan Massimiliano Allegri selaku pengurus Juventus.

Allegri dikatakan masih mempunyai kontrak sehingga Jun 2020 tetapi dia berminat mencari angin baru di tempat lain pada musim panas depan.

Pengurusan Juve kini sedang menilai pilihan mereka dan Guardiola dipercayai berada dalam ranking tertinggi selaku pengurus baru dihajati kelab gergasi Itali itu.

Menurut wartawan Itali, Luigi Guelpa, Guardiola begitu berminat berhijrah ke Turin dan bersetuju dengan kelab itu untuk mengikat kontrak selama empat tahun.

Guelpa mendakwa dia mendapat ‘clue’ itu daripada sumber sama memberitahu Cristiano Ronaldo meninggalkan Real Madrid berpindah ke Juve.

“Saya difahamkan Pep Guardiola bersetuju secara lisan dengan Juventus selama empat tahun,” kata Guelpa kepada Radio CRC.

“Ia orang sama memberitahu saya Ronaldo akan ke Juventus.”

Guardiola yang memiliki kontrak di City sehingga penghujung musim 2020-21, meraih gelaran liga di Sepanyol, Jerman dan England.

Juve kini dalam laluan menjulang gelaran Serie A untuk musim kelapan berturut-turut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2019 @ 8:31 PM
Guardiola (kanan) setuju ganti Allegri di Juventus. FOTO REUTERS
Guardiola (kanan) setuju ganti Allegri di Juventus. FOTO REUTERS