PEMAIN Ajax diketuai De Ligt meraikan kejayaan menundukkan Real Madrid di Santiago Bernabeu, awal pagi tadi. — FOTO Reuters
PEMAIN Ajax diketuai De Ligt meraikan kejayaan menundukkan Real Madrid di Santiago Bernabeu, awal pagi tadi. — FOTO Reuters
Reuters

KAPTEN Ajax Amsterdam, Matthijs de Ligt percaya pasukannya boleh mencetus lebih banyak kejutan Liga Juara-Juara selepas menyingkirkan juara bertahan Real Madrid untuk layak ke suku akhir.

Ajax, juara Eropah empat kali, mengatasi defisit 1-2 pada aksi pertama, menang bergaya 4-1 di Santiago Bernabeu pada aksi kedua awal pagi tadi untuk layak 5-3 secara agregat.

“Kami akan lihat sejauh mana kami pergi tapi jelas cabaran kami belum berakhir,” kata pertahanan remaja Belanda itu.

“Kami menyukarkan Bayern Munich,” katanya mengenai persembahan Ajax pada peringkat kumpulan, “dan kini kami menyingkirkan Real Madrid.

DAVID Neres (kanan) menjaringkan gol kedua Ajax. — FOTO Reuters
DAVID Neres (kanan) menjaringkan gol kedua Ajax. — FOTO Reuters

“Ia bukan satu kejutan buat kami. Real memberi banyak ruang dan jika bersedia untuk memperagakan aksi bola sepak sebenar, anda sedar mampu menyukarkan mereka.”

Pemain berusia 19 tahun itu berkata, Ajax lebih klinikal di Madrid berbanding ketika tewas tipis pada aksi pertama di laman sendiri.

“Satu-satunya perkara yang kami tidak lakukan pada perlawanan itu adalah menjaringkan gol tapi malam ini kami meledak menerusi dua percubaan pertama,” katanya.

“Adakah kami di tahap terbaik? Saya fikir begitu, kalau tidak anda tidak boleh mengalahkan pasukan seperti Real Madrid. Kami tahu ia pasti sukar tapi peluang pasti ada.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 8:16 PM