PEMAIN JDT Muhammad Safawi Rasid (10) meraikan jaringan kedua bersama rakan sepasukan. FOTO Mohd Azren Jamaludin
PEMAIN JDT Muhammad Safawi Rasid (10) meraikan jaringan kedua bersama rakan sepasukan. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Rizar Mohd Noor


JOHOR Darul Ta’zim (JDT) kembali menemui rentak kemenangan selepas menewaskan Melaka United (MU) 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

Kemenangan itu melonjak skuad Harimau Selatan ke tangga kedua namun gagal memintas Kedah walaupun menyamai pungutan 10 mata apabila dibezakan dengan jaringan gol.

JDT turun tanpa kelibat Mauricio Nascimento di posisi pertahanan dengan gandingan pemain tempatan Aidil Zafuan Abd Radzak bersama Adam Nor Azlin dipertaruhkan mengemudi benteng tampak begitu tenang mengawasi gerakan barisan pemain skuad kendalian Zainal Abidin Hassan.

Tuan rumah terlepas peluang mencipta jaringan pada minit ke-15 selepas bola sepakan percuma Diogo Luis Santo yang terkena benteng pelawat disambar Leandro Velazquez namun bola sepakan leret tersasar walaupun hanya berdepan dengan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Sekali lagi anak didik Luciano Figueroa masih belum mampu merungkai jaringan tatkala memiliki peluang terhidang pada minit ke-24 selepas bola sepakan percuma Gonzalo Cabrera pada jarak 20 meter hanya sipi di penjuru kiri gawang.

Tindakan pemain pertahanan pelawat, Jang Suk-won yang menghalang percubaan Velazquez menggunakan tangan pada minit ke-35 membawa padah selepas pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali menghadiahkan sepakan penalti.

Cabrera yang ditugaskan mengambil sepakan penalti tidak berdepan masalah untuk merembat bola kencang tepat ke penjuru kanan menewaskan Khairul Fahmi untuk meletak tuan rumah selesa mendahului 1-0.

Ketika aksi berbaki empat minit untuk ditamatkan pada babak petama, tuan rumah selesa mendahului 2-0 selepas bola umpanan Luis Santo menyaksikan Safawai Rasid bertindak berani menyusup masuk ke dalam kotak penalti sebelum mudah menendang bola menewaskan Khairul Fahmi.

Bersambung babak kedua, tuan rumah terus bernafsu untuk menambah jaringan malah penampilan pertama Velazquez juga tidak mengecewakan selepas memainkan peranan penting dalam perlawanan itu apabila sering menjanakan gerakan berbahaya yang mengundang cemas benteng pelawat.

Namun serangan balas pelawat pada minit ke-73 berjaya menghasilkan gol selepas bola rembatan awal Mohd Raimi Md Nor disambar Patrick Reichelt untuk menewaskan penjaga gol, Farizal Marlias sekaligus merapatkan jurang gol tapi jaringan itu belum cukup untuk menafikan kemenangan JDT.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Februari 2019 @ 11:36 PM