ONG KIM SWEE
ONG KIM SWEE
Firdaus Hashim


“PERLAWANAN kedua kita harus dapatkan mata tak kira satu atau pun tiga untuk membuka peluang kita ke peringkat seterusnya.”

Itu kata pengendali skuad bawah 22 (B-22) tahun negara, Datuk Ong Kim Swee yang mahu anak buahnya bangkit melupakan kekalahan 0-1 kepada Kemboja dengan menjadikan aksi kedua bertemu Indonesia pada Rabu ini sebagai medan penebus duka.

Jelas jurulatih berusia 49 tahun itu, kegagalan meraih sebarang mata dalam aksi pertama Kumpulan B saingan Piala LG B-22 AFF di Stadium Olimpik, Phnom Penh malam tadi sememangnya menyempitkan laluan negara ke pusingan kalah mati.

Apatah lagi dengan kejayaan Indonesia mengikat Myanmar 1-1 pada aksi disebelah petang, menceritakan bahawa kutipan tiga mata wajib diburu untuk menghidupkan peluang.

Ujarnya, bagi merealisasikan misi itu rombakan ke dalam pasukan terpaksa dilakukan dengan dua tonggak iaitu R Kogileswaran dan Danial Haqim Draman terpaksa disisihkan ekoran kecederaan dan penggantungan perlawanan kerana layangan kad merah.

“Tentu akan ada rombakan di mana kita ada masalah dengan bahagian tengah selepas Kogileswaran dan Danial tak dapat bermain nanti.

“Namun masih ada pemain yang boleh mengisi slot ditinggalkan dan saya percaya mereka mampu menjalankan tugas dengan baik,” katanya.

Dalam aksi di depan 20,000 penyokong Kemboja itu, jaringan tunggal Sath Rosib pada minit ke-62 menerusi sepakan percuma itu sudah cukup untuk menghadiahkan tiga mata penuh buat tuan rumah yang dijadualkan menentang Myanmar pada Rabu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 12:16 AM