Chelsea mahu Zidane (kanan) ganti Sarri. FOTO REUTERS
Chelsea mahu Zidane (kanan) ganti Sarri. FOTO REUTERS
The Sun

KECIL tapak tangan, nyiru ditadahkan!

Begitulah keazaman Chelsea yang sedia mendapatkan Zinedine Zidane demi mengembalikan kekuatan kelab itu sebagai ‘superpower’ Eropah.

Pengurus sekarang, Maurizio Sarri diambang penyingkiran selepas dilanyak 6-0 oleh Manchester City menyebabkan Blues tercicir ke tangga keenam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Khabar itu diperkuatkan lagi dengan sokongan pengurusan kelab London itu untuk mendapatkan tandatangan Zidane.

Minggu ini, perbincangan terus diadakan bagi mendapatkan tempoh untuk memulakan urusan itu.

Rekod cemerlang Zidane dalam Liga Juara-Juara (UCL) terbukti apabila muncul pemenang tiga kali berturut-turut selaku pengurus Real Madrid dan pencapaian itu menjadi penilaian utama Lembaga Pengarah Blues.

Zidane atau Zizou, 46, kini tidak berada dalam mana-mana pengurusan dan difahamkan cenderung untuk mendapatkan tugasan dalam EPL.

Malah, superstar Chelsea, Eden Hazard yang dikaitkan perpindahan dari kelab itu selepas kontrak tamat pada 2020, amat meminati Zidane.

Jika pemain legenda Perancis itu yang juga pemenang Piala Dunia bersama Les Bleus ke Chelsea, ia akan menjadi suntikan tambahan buat Hazard menandatangani kontrak baru di Stamford Bridge.

Sarri pula kecundang kali pertama dalam 12 perlawanan selepas mengambil alih Antonio Conte dipecat pada musim panas lalu.

Dia membawa Chelsea ke final Piala Liga berdepan Manchester City pada 24 Februari ini tetapi hierarki Blues lebih berminat untuk kelayakan UCL.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 3:52 PM