MAURIZIO SARRI
MAURIZIO SARRI
AFP

PARIS: Liga Europa mungkin tidak menjadi keutamaan Chelsea musim ini, namun dalam situasi terkini aksi pertama kelompok 32 pasukan terakhir di laman Malmo, Sweden dilihat begitu penting buat skuad Maurizio Sarri.

Kontrak pengendali Itali di Stamford Bridge itu mungkin dalam bahaya selepas kekalahan memalukan 0-6 kepada Manchester City, rekod terburuk sepanjang tempoh 28 tahun yang juga kekalahan keempat berturut-turut di tempat lawan.

Namun Sarri masih kekal di kelab London itu untuk mengharungi jadual perlawanan yang sibuk, dua perlawanan timbal balik menentang Malmo dan pusingan kelima Piala FA berdepan Manchester United.

Satu lagi perlawanan menentang City untuk final Piala Liga menyusul.

“Sukar untuk menerima kekalahan teruk itu, tetapi kami ada banyak perlawanan untuk menaikkan semangat kami dan memberi harapan terhadap keputusan baik pada akhir musim,” kata pemain tengah Perancis, N'Golo Kante kepada Chelseafc.com selepas perlawanan Ahad lalu.

Chelsea mudah melepasi peringkat kumpulan biarpun Sarri sering mengetepikan pemain utamanya dan beliau mungkin akan menggilirkan pemain sekali lagi di Sweden.

Memandangkan ketika ini liga Sweden masih berehat, Malmo yang dikendalikan bekas penyerang City, Uwe Roester dari Jerman, masih belum beraksi dalam sebarang perlawanan kompetitif sejak peringkat kumpulan pada Disember.

Bagi Chelsea dan pencabar tetangga Arsenal, kebangkitan Manchester United dalam beberapa minggu lalu meningkatkan kesedaran betapa pentingnya aksi Liga Europa di mana kemenangan final di Baku adalah peluang terbaik untuk mara ke Liga Juara-Juara musim depan.

Arsenal, kendalian Unai Emery akan berkunjung ke Belarus untuk berdepan BATE, satu lagi kelab yang masih belum beraksi dalam perlawanan kompetitif sejak berakhirnya peringkat kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 11:13 AM